Hujan lebat di sekitar bandar raya Miri dijangka pulihkan jerebu

0

MIRI: Hujan lebat yang turun di beberapa kawasan di sekitar bandar raya Miri dijangka akan memulihkan keadaan jerebu yang berlaku sejak beberapa hari lalu.

Tinjauan Utusan Borneo semalam mendapati hujan lebat turun sekitar jam 1.30 petang.

Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar setakat jam 11 pagi semalam menunjukkan peningkatan daripada 81 (jam 7 pagi) kepada 82 bagi Miri.

Meskipun begitu, keadaan jerebu berkenaan dijangka pulih apabila hujan lebat turun di beberapa kawasan di bandar raya ini seterusnya memberi kesan kepada penurunan bacaan IPU bagi kawasan Miri.

Sementara itu, setakat jam 11 pagi semalam juga, Sibu masih mencatat bacaan IPU tertinggi dengan 102 berbanding 85 pada bacaan jam 7 pagi.

Bagi Sarikei pula, bacaan IPU setakat jam 7 pagi turut menunjukan peningkatan yang ketara  iaitu daripada 85 kepada 88 pada pada bacaan jam 11 pagi.

Bahagian-bahagian lain di Sarawak turut menunjukkan peningkatan bacaan IPU dari jam 7 hingga 11 pagi masing-masing Bintulu (75 kepada 77), ILP Miri (75 kepada 76), Samarahan (74 kepada 75) dan Limbang (72-73).

Bandar raya Kuching turut menunjukkan peningkatan iaitu 70 kepada 72, Sri Aman (64 kepada 67) dan Kapit (63 kepada 66).

Ia menunjukkan peningkatan IPU bagi semua kawasan di negeri ini tetapi masih dalam keadaan terkawal.