Program Jurutera Penyelenggaraan Pesawat Teknikal kini diperkenal di Sarawak

0

KUCHING: Program Jurutera Penyelenggaraan Pesawat Teknikal (TAME) kini diperkenalkan di Sarawak menerusi Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak (PPKS).

Usaha untuk melahirkan jurutera pesawat di kalangan anak-anak Sarawak itu tercapai selepas termeterainya Memorandum Persefahaman antara PPKS, Aero Precision Resources – Aviation Training Centre (APR-ATC) Sdn Bhd dan Hornbill Skyways Sdn Bhd.

Upacara menandatangani MoU tersebut disempurnakan oleh Pengerusi PPKS Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Datuk Husain, Ketua Pegawai Eksekutif APR-ATC Amirudin Abdul Ghani dan Pengarah Kejuruteraan Hornbill Skyways Indra Utama sambil disaksikan oleh Penolong Pengurus Besar (Kebajikan Korporat) APR-ATC Mohd Afandi Ghazali, Pengarah Eksekutif PPKS Baharudin Abdullah dan Pengarah (Sumber Manusia dan Pentadbiran) Hornbill Skyways Juaita Abdullah.

“MoU ini akan menyaksikan pelaksanaan program penyelenggaraan pesawat TAME yang pertama di Sarawak.

“Ini adalah bagi mengisi kekurangan bilangan jurutera penyelenggaraan pesawat di negeri ini,” kata Abdul Aziz pada Majlis Menandatangani MoU Antara PPKS, Hornbill Skyways dan APR-ATC Bagi Program TAME, di sebuah hotel terkemuka di sini semalam.

PPKS akan menjadi pusat pembelajaran bagi program TAME manakala APR-ATC akan menyediakan tenaga pengajar yang kompeten dan diiktiraf untuk menyampaikan program latihan sementara Hornbill Skyways akan menyediakan latihan pekerjaan menerusi pengalaman praktikal.

Program adalah terbuka kepada peringkat usia antara 18 hingga 25 tahun.

Bagi pemegang diploma dalam bidang kejuruteraan akan mengikuti program TAME selama tiga tahun manakala lepasan sekolah dengan SPM lima kredit termasuk Bahasa Inggeris, Matematik, Fizik, Bahasa Melayu dan Sains akan menamatkannya selama empat tahun.

Pemohon juga haruslah kuat dari segi fizikal dan mental serta mempunyai penglihatan yang baik dan tidak buta warna.

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman sesawang www.ppks.edu.my atau kunjungi PPKS di Tabuan Jaya pada Isnin hingga Jumaat dari jam 8 hingga 5 petang atau hubungi 082-364 198 atau 1800-88-1157.