Dua anggota polis kasari wanita mengandung ditahan

0

KOTA KINABALU: Dua anggota polis berpangkat koperal dan lans koperal ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian kekasaran terhadap seorang wanita warga asing yang sedang mengandung dalam satu insiden di Felda Sahabat 10, Lahad Datu pada 22 Jun lepas.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Tan Kok Liang, berkata kedua-dua anggota polis terbabit kini ditahan bagi tindakan lanjut berhubung insiden berkenaan dan menegaskan kes itu akan disiasat dengan adil serta tegas.

“Kedua-dua anggota polis itu telah ditahan reman sejak kelmarin (Isnin) dan kita menegaskan kes ini akan disiasat secara adil. Buat sementara ini, kita akan siasat mengikut 384 Kanun Keseksaan dan siasatan menyeluruh akan dilaksanakan.

“Kita juga masih belum menerima laporan kesihatan mangsa yang terlibat dan setakat ini mangsa difahamkan dalam keadaan stabil,” katanya.

Difahamkan insiden berlaku sekitar jam 12.40 tengah hari itu, dikatakan mangsa sedang dalam perjalanan menuju ke Felda Sahabat 10 untuk bertemu suaminya yang berkerja di situ sebelum ditahan oleh dua anggota polis berkenaan di lokasi berkenaan.

Turut dipercayai ketika ditahan mangsa yang berusia 35 tahun telah mendakwa pasport miliknya dirampas oleh kedua-dua anggota polis itu sebelum mereka bertindak mengasari dan memukulnya meskipun sedang sarat mengandung.

Malah menurut pengadu juga, salah seorang daripada mereka telah melepaskan tiga das tembakan ke udara dan mengugut mangsa menyerahkan wang tunai berjumlah RM2,000 sekiranya mahukan pasportnya semula.

Sejurus kejadian itu berlaku, mangsa yang sedang kesakitan dan khuatir kandungannya gugur ekoran dikasari, membuat laporan polis untuk tindakan lanjut dan bergegas ke hospital berdekatan bagi menerima rawatan.

Mangsa juga dikatakan menyimpan kelonsong peluru yang dilepaskan dalam insiden berkenaan sebagai bukti.