Perdana Menteri pengerusi mesyuarat MB, Ketua Menteri

0

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam mempengerusikan Mesyuarat Ke-118 Menteri Besar dan Ketua Menteri di Bilik Mesyuarat Perdana Menteri, bangunan Perdana Putra di sini.

Mesyuarat pada jam 3 petang itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa serta beberapa menteri Kabinet.

Ini merupakan mesyuarat kali kedua diadakan tahun ini, dengan kali pertama pada Februari lepas, yang bertujuan menyelaras pentadbiran antara negeri selain membincangkan isu-isu berbangkit.

Mesyuarat yang kali pertama diadakan selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 5 Mei lepas itu turut menyaksikan kehadiran ‘muka baharu’ dalam senarai Menteri Besar dan Ketua Menteri.

Mereka terdiri Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir, Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Besar Perlis Azlan Man dan Ketua Menteri Melaka Datuk Idris Haron. — Bernama