Pesakit berkaitan jerebu meningkat

0

KUCHING: Terdapat peningkatan pesakit asma serta penyakit berkaitan mendapatkan rawatan khasnya di Hospital Umum Sarawak (HUS) sejak jerebu melanda negeri ini, kata Pengarah Kesihatan Sarawak Datu Dr Zulkifli Jantan.

Tanpa mengulas peratusan peningkatan, beliau bagaimanapun memberitahu bahawa keadaan yang kebanyakannya membabitkan pesakit luar itu masih terkawal.

“Jumlah pesakit mendapatkan rawatan asma di HUS memang meningkat namun jumlah kemasukan ke HUS tidak menyaksikan sebarang peningkatan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Siri Jelajah Seminar Pendidikan Fatwa Kesihatan Peringkat Kebangsaan 2013 di Dewan Kompleks Islam, di sini, semalam.

Turut menyaksikan sedikit peningkatan adalah rawatan berkaitan penyakit kerongkong seperti batuk-batuk dan sakit mata.

Bagaimanapun katanya, keadaan jerebu di Sarawak masih tidak membimbangkan kerana belum tiba pada bacaan tidak sihat.

Dr Zulkifli turut menasihati orang ramai lebih-lebih lagi yang mempunyai masalah paru-paru agar mengambil langkah-langkah pencegahan seperti tidak menjalankan aktiviti luar rumah serta memakai penutup hidung dan mulut.

Ditanya jika HUS bersedia menampung pesakit-pesakit yang terjejas akibat jerebu sekiranya Indeks Pencemaran Udara terus meningkat, beliau memberitahu bahawa pihak hospital akan mengambil pendekatan seperti di Semenanjung Malaysia di mana pembedahan-pembedahan elektif dikurangkan.

“Kami akan gunakan tenaga untuk merawat kes paru-paru.  Kami bersedia melakukan yang sama (dengan di Semenanjung Malaysia) namun kami harap peningkatan IPU tidak akan berlaku,” katanya.