Semua kampung di Penrissen, Jln Puncak Borneo, Krokong akan disalur bekalan air

0

PENGHARGAAN: Dr Jerip menerima cenderamata daripada Pengarah Bahagian Kebajikan Pelajar, Jabatan Pengajian Kolej Komuniti Ishanuddin Hussin.

BAU: Kesemua perkampungan di Penrissen, Jalan Puncak Borneo dan Krokong, Bau akan disalurkan bekalan air bersih menjelang penghujung tahun ini, kata Menteri Muda Kesihatan Awam Dr Jerip Susil.

Sehubungan itu, beliau berkata masalah ketiadaan bekalan air di kedua-dua kawasan yang selama ini bergantung kepada sistem graviti akan selesai.

“Kami telah mengadakan perbincangan dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan mereka akan membuat pencubaan pe-nyaluran bekalan air menerusi batang paip utama yang telah siap dipasang di kedua-dua kawasan tersebut.

“Pencubaan bagi kawasan Krokong akan dibuat pada Ogos manakala Penrissen pada September.

“Maknanya, kalau tiada apa-apa masalah kedua-dua kawasan ini akan mendapat bekalan air bersih pada penghujung tahun 2013,” katanya, semalam.

Beliau ditemui selepas merasmikan program Jom Berambeh Desa 2013 Peringkat Kebangsaan anjuran Jabatan Pengajian Kolej Komuniti, kelolaan Kolej Komuniti Mas Gading di sini.

Dr Jerip yang juga ADUN Bengoh menambah, bekalan air bagi Krokong akan disalurkan menerusi pusat penyimpanan bekalan air di pekan Bau sementara Penrissen dari Kota Padawan.

Menurutnya, kedua-dua kawasan tersebut kini menghadapi masalah tiada bekalan air disebabkan musim kemarau.

“Terdapat 17 kampung di Krokong yang menghadapi masalah ini dan begitu juga di Penrissen.

“Semua kampung adalah menggunakan sistem graviti dan apabila musim kemarau, air gunung akan kering menyebabkan mereka terputus bekalan air,” katanya.

Berhubung Empangan Bengoh, Dr Jerip berkata penakungan air dijangka dapat dilakukan pada penghujung tahun ini selepas penduduk dari kampung terjejas dipindahkan ke Skim Penempatan Semula Empangan Bengoh.

“Saya berharap, penduduk terjejas dapat dipindahkan dengan segera agar menjelang penghujung tahun ini penakungan air di Empangan Bengoh dapat dibuat sekali gus menampung bekalan air di Loji Batu Kitang yang sudah tidak mencukupi untuk menampung keperluan air penduduk di Kuching,” katanya.

Sementara, program Jom Berambeh Desa 2013 yang diadakan di Krokong telah disertai seramai 100 peserta dari 13 IPT di seluruh negara.

Antara aktiviti yang dijalankan ialah berakit, eksplorasi Gua Pari-Pari, program kembara khidmat komuniti, bengkel, kursus pendek, sukan rakyat, pameran dan sebagainya.