MIRI: Radio Republik Indonesia (RRI) bakal melengkapkan Program Bermukun Se-Borneo bersama Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Radio Televisyen Brunei (RTB) pada tahun depan.
Pengarah Penyiaran Kawasan Sarawak Salmah Ibrahim Melina memberitahu bahawa perkara berkenaan sedang dalam perbincangan pihaknya.
“Kami cuba melengkapkan program ini (bermukun) dengan menjemput pihak RRI, dengan itu baharulah lengkap penyertaan Se-Borneo,” katanya pada Majlis Pengenalan Program Bermukun SeBorneo di Stesen Penyiaran RTM Miri semalam.
Menurutnya, mengenai memorandum persefahaman (MoU) pertukaran rancangan antara kedua-dua stesen (RTM dan RTB), ia sudah lama wujud di mana pada 1997 hingga 1999 dilakukan secara rakaman dalam studio dan secara talian telefon.
Bagaimanapun, menyedari sambutan hangat daripada pendengar, pendekatan secara langsung digunakan pada 2004 yang turut melibatkan penonton kawasan setempat.
Mengenai MoU, ia mempunyai objektif untuk menerbitkan rancangan bersama di samping bertukar-tukar rancangan rakaman dan secara langsung pada musim perayaan serta menarik minat masyarakat Brunei, Sarawak, Sabah dan Labuan untuk mengikuti sekali gus menggemari pelbagai program yang disiarkan secara bersama.
Selain itu, ia turut memupuk minat masyarakat di rantau ini untuk menggemari acara bermukun supaya ia tidak hilang ditelan zaman serta untuk menyemai semangat kerjasama dan perpaduan antara pelbagai stesen terlibat.
Ia juga bermatlamat untuk memupuk muhibah dan mengerat jalinan kerjasama antara Malaysia dan Brunei selain mengangkat martabat seni budaya tempatan ke arena antarabangsa serta menjadikan ia sebagai platform untuk berkongsi informasi, mengukuh kemesraan juruhebah antara stesen.
Setakat ini, stesen radio yang terlibat adalah RTB, SARAWAKfm RTM Sarawak, SABAHfm RTM Sabah dan LABUAN fm RTM Labuan.
Kali ini, seramai 24 artis terdiri daripada syeh gendang, penggesek biola, pemain akordian dan pemukun (pemantun) terlibat untuk menjayakan program bermula 26 hingga 30 Jun sepanjang kawasan Miri-Bintulu.