K’jaan negeri diminta tarik balik arahan buka jalan di Jonker Walk

0

MELAKA: Kerajaan Negeri Melaka diminta menarik semula arahan pembukaan laluan bagi kenderaan di Jonker Walk yang mula berkuat kuasa kelmarin kerana tindakan itu dikhuatiri menjejaskan sektor pelancongan dan pendapatan peniaga di situ.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Jonker Walk Datuk Gan Tian Loo membuat permintaan itu semasa melakukan tinjauan di kawasan pelancongan itu kelmarin bagi mendapatkan maklum balas peniaga di situ berhubung pembukaan laluan itu.

“Kita merayu kerajaan negeri supaya mengkaji semula tindakan pembukaan jalan di Jonker Walk bagi laluan kenderaan seperti yang telah diputuskan oleh mesyuarat Exco Selasa lepas,” katanya kepada pemberita.

Tan yang juga Pengerusi MCA negeri berkata, pihaknya juga dijangka mengadakan perjumpaan dengan Ketua Menteri Melaka Datuk Idris Haron dalam waktu terdekat berhubung perkara itu.

Tinjauan Bernama di Jonker Walk mendapati kira-kira 300 peniaga di kawasan itu mengadakan demonstrasi secara aman bagi membantah keputusan kerajaan negeri itu yang turut disertai Penasihat DAP Lim Kit Siang.

Peniaga dilihat menjalankan perniagaan mereka seperti biasa di laluan kenderaan tanpa menghiraukan arahan yang dikeluarkan kerajaan negeri sehingga menghalang kenderaan melalui kawasan tersebut sehingga menyebabkan kesesakan trafik.

Mengulas mengenai kehadiran Lim pada demonstrasi itu, Gan menyifatkannya sebagai mainan politik pihak pembangkang bagi meraih sokongan kaum Cina di Jonker Walk.

“Dahulu pembangkang membantah projek pembukaan Jonker Walk ini 13 tahun lepas, namun kini saya tidak faham mengapa mereka perlu campur tangan,” katanya.

Anggota Penguat Kuasa Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) kelihatan memantau dan menerangkan berhubung arahan pembukaan jalan yang dikeluarkan kerajaan negeri kepada peniaga di situ.

Anggota polis juga dilihat mengawal keadaan lalu lintas yang sesak.

Selasa lepas, kerajaan negeri memutuskan dalam mesyuarat Exco untuk membuka laluan kenderaan di pasar malam tersebut bagi mengatasi kesesakan lalu lintas di kawasan bandaraya Melaka.

Bagaimanapun, pembukaan laluan itu tidak melibatkan penutupan gerai sedia ada di sepanjang pasar malam berkenaan bermula jam 6 petang hingga 12 tengah malam setiap Jumaat hingga Ahad. — Bernama