Tuesday, October 4

DBKU akan pantau kewujudan peniaga tanpa lesen sepanjang bulan Ramadan

0

KUCHING: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) akan memantau kewujudan peniaga tanpa lesen sepanjang bulan Ramadan di kawasan seliaannya bagi memastikan mereka mematuhi tiga aspek ditetapkan iaitu kebersihan, keselesaan (laluan lalu lintas) dan keselamatan.

Datuk Bandar DBKU Datuk Abang Abdul Wahad Abang Julai berkata adalah bukan amalan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu untuk mengusir atau menutup perniagaan peniaga terbabit sebaliknya pendekatan lebih berhemah akan diambil.

“Kita ada tiga kriteria diberi penekanan dalam membuka gerai Ramadan, pertama ia mesti tidak menghalang lalu lintas, kerana kalau ini berlaku ia akan memudaratkan keselamatan orang ramai.

“Kedua, kita akan melihat dari segi kebersihan… katakanlah gerai terletak bersebelahan parit besar, ini tidak boleh, jadi kita akan nasihat agar mereka berpindah ke lokasi lebih selamat dan ketiga kita akan mencari tempat sesuai untuk mereka berniaga dalam kumpulan kecil,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Terdahulu beliau merasmikan Hari Terbuka Tapak Semaian DBKU di Jalan Depo, Petra Jaya dekat sini.

Abang Abdul Wahab menambah, pihaknya tidak akan mengusir peniaga yang didapati mematuhi peraturan ditetapkan sebaliknya lebih kepada pendekatan memberi nasihat kerana percaya mereka juga mahu mencari rezeki tambahan sempena Ramadan.

“Kalau nak mengusir itu, tidaklah… itu sudah dianggap zalim tatkala orang mencari rezeki tambahan semasa Ramadan, cuma kita nasihatkan mereka ini berulang kali supaya mematuhi ketiga-tiga ketetapan tadi.

“Dalam hal ini kerjasama semua pihak amat kita perlukan,” katanya sambil menambah, tahun lepas tiada insiden perniagaan peniaga bazar Ramadan diarah tutup kerana tidak mematuhi peraturan ditetapkan.

Sementara itu, katanya bagi tahun ini lebih 200 gerai Ramadan akan dibuka di sekitar kawasan DBKU iaitu di Semarak, Sukma, Plaza Astana dan Demak Laut.