Penantian Kontinjen S’wak berakhir

0

HANYA GANGSA: Alzrin bersama Ketua Kontinjen SUKMA Sarawak, Affandi Keli (empat kanan), Pengurus Pasukan, Oddie Grinsam dan Arini (kiri) pada majlis penyampaian hadiah di Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR: Pen­antian pingat Kontinjen Sarawak pada Sukan Malay­sia (SUKMA XVI) berakhir setelah acara bina badan dan judo menghadiahkan dua pingat gangsa semalam.

Badang Sarawak, Mohd Al­rzrin Abdul Ghani melakukan kejutan apabila merangkul pingat gangsa dalam acara bina badan bagi kategori 65-70kg di South City Plaza, Seri Kembangan, di sini se­malam.

Bagaimanapun, juara milik Mohamad Amirul Muqmin Roslan dari Johor manakala Syahmi Samuri dari Kelantan di tempat kedua.

Manakala seorang lagi wakil Sarawak, Azri Asmat pula men­duduki tempat keempat dalam kategori 60kg ke bawah.

Kemenangan Alrzrin mengejutkan kem Kontinjen Sarawak terutamanya ketua jurulatih, Arini Marzuki yang tidak menyangka atlet dari Kuching itu berjaya merang­kul pingat.

Beliau sebenarnya me­letakkan harapan terhadap Azri yang pernah bertanding pada Kejohanan Mr Malaysia baru-baru ini.

“Alhamdullillah, kita ber­jaya membawa pulang satu pingat gangsa biarpun ia merupakan penampilan per­tama Sarawak dalam acara bina badan pada SUKMA XVI ini.

“Kejayaan ini adalah di luar jangkaan kita dan saya ingin mengucapkan tahniah kepada Alrzrin dan semua atlet yang telah berusaha mengharum­kan nama Sarawak,” katanya ditemui semalam.

Menurut Arini, beliau san­gat berpuas hati dengan pen­capaian anak-anak buahnya biarpun hanya membuat per­sediaan selama empat bulan sahaja.

Gangsa kedua pula dis­umbangkan oleh atlet judo iaitu Soh Yew Ing yang menewaskan peserta Selan­gor, Mohd Danis menerusi kiraan mata ‘Ipon’ di Pusat Gimnasium I, Majlis Sukan Negara (MSN) di sini.

Kemenangan Soh, bagaim­anapun mendapat bantahan dari kontinjen Selangor yang mendakwa beliau menarik seluar Mohd Danis semasa perlawanan.

Bagaimanapun, pihak juri mengesahkan kemenangan Soh setelah menonton semula rakaman video perlawanan tersebut.

Dua rakan Soh iaitu Van Vacqur Cotter Edward Tam­bay dan Lai Lei Wei pula gagal dalam kategori mas­ing-masing.

Ketua Jurulatih Judo Sarawak, Anderson Venus yang amat mengharapkan kemenangan tersebut men­gucapkan tahniah kepada Soh sambil berkata kejayaan itu adalah hadiah istimewa untuk penduduk Bumi Kenyalang.

“Kita menampilkan tiga atlet dan berhadapan dengan saingan yang cukup sengit dari pasukan negeri-negeri lain.

“Namun, saya cukup gem­bira kerana beliau (Soh) terus mempamerkan permainan yang konsisten dan sekali gus memastikan pingat per­tama untuk kita,” katanya selepas penyampaian hadiah semalam.

Anderson berharap ke­jayaan Soh itu akan menjadi pemangkin kepada rakan-rakannya yang lain melakar kemenangan pada perlawanan seterusnya.

Sementara itu, pemenang pingat emas Sarawak pada SUKMA 2011, Brenton Sim akan turun dalam kategori 81kg hari ini.

Beliau akan menjadi sandaran utama kontinjen negeri merangkul pingat emas pertama.