Pesta Gudi landasan terbaik bagi masyarakat beriadah

0

BINTULU: Pesta Gudi merupakan antara landasan terbaik bagi masyarakat setempat beriadah serta merapatkan silaturahim sesama mereka, kata Timbalan Pengerusi Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) Tan Sri Celestine Ujang Jilan.

Katanya walaupun pada asalnya permainan gudi merupakan tradisi masyarakat tempatan bagi berhibur terutama masa lapang dan selesainya musim menuai padi namun kini menjadi permainan yang disukai segenap lapisan masyarakat pelbagai kaum di negeri ini.

“Melihat potensi permainan gudi itu maka ia diangkat sebagai suatu pesta yang menarik untuk dikunjungi sama ada pelawat dari dalam mahupun luar negara,” katanya ketika merasmikan Pesta Gudi Sarawak 2013 di Lapangan Terbang Lama Bintulu, di sini pagi semalam.

Jelasnya sejak diadakan pada 2008, Pesta Gudi terus mendapat sambutan dan dilakukan penambahbaikan sambutannya dari semasa ke semasa memandangkan ia mendapat sambutan yang amat menggalakkan.

“Pesta Gudi turut mengetengahkan pelbagai permainan rakyat merangkumi penjualan makanan dan minuman serta produk tempatan yang sememangnya membantu memartabatkan pesta bersifat santai dan riadah itu,” ujarnya.

Tambahnya, masyarakat awam turut memainkan peranan penting dengan mengambil bahagian dalam semua acara sukan dan permainan rakyat yang dipertandingkan menjadikannya sebuah acara yang penuh berprestij.

Pesta berlangsung selama tiga hari itu bakal dimeriahkan dengan lebih 1,000 orang pengunjung dari dalam dan luar negara.

Acara kemuncak pada hari terakhir pesta semalam ialah acara Jom Terbang Beramai-ramai untuk Acara ‘Malaysian Books of Records’ pada jam 2.30 petang.

Hadir sama Timbalan Residen (Sosial) Bahagian Bintulu Richard Michael Abunawas dan Penolong Pengurus Besar (Environment) BDA Mohd Bohari Kipli.