S’wak perlu haram shisha seperti Melaka, Perlis

0

KUCHING: Sarawak harus mengikut jejak langkah dua negeri iaitu Melaka dan Perlis mengharamkan kegiatan menghisap dan menjual shisha kerana ia akan memudaratkan para penghisap dan pengamalnya.

Yang Dipertua Mimbar Permuafakatan Ibu Bapa Malaysia (MAPIM) Cawangan Sarawak Wan Zain Syed Mohdzar (gambar) berkata, pengharaman kegiatan menghisap dan menjual shisha di negeri ini adalah perlu dilakukan kerana boleh membahayakan kesihatan masyarakat terutama golongan remaja.

“Kita amat bimbang dengan gejala menghisap shisha di kalangan remaja yang nampak semakin berleluasa di negeri ini terutama di kawasan-kawasan bandar.

“Di bandar raya Kuching misalnya, kita dapat lihat golongan remaja dan individu yang menghisap shisha dan ini boleh mendatangkan kesan memudaratkan terhadap mereka,” katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur, kelmarin.

Menurut Wan Zain, kegiatan menghisap shisha amat memudaratkan kesihatan masyarakat yang mana kesannya lebih teruk daripada menghisap rokok.

Malah katanya, kegiatan itu boleh melalaikan golongan remaja dan individu terbabit justeru boleh menimbulkan unsur-unsur pembaziran dari segi kewangan.

“Kita berharap Kerajaan Negeri Sarawak dapat mengambil tindakan drastik dengan mengharamkan kegiatan dan menjual shisha di sekitar bandar raya ini,” katanya sambil berharap golongan remaja menghindar diri daripada terus ketagih shisha.

Kelmarin, Kerajaan Negeri Perlis menerusi majlis fatwanya yang dipengerusikan oleh Mufti Perlis Datuk Dr Juanda Jaya mengumumkan bahawa mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis Isnin lalu telah mengharamkan kegiatan menghisap dan menjual shisha di negeri terbabit.

Perlis merupakan negeri kedua selepas Melaka yang mengambil tindakan mengharamkan kegiatan menghisap dan menjual shisha.

Wan Zain menarik perhatian bahawa menghisap shisha bukan amalam Islam, sebaliknya budaya jahiliah yang membawa kepada unsur maksiat.

“Secara peribadi saya berpendapat bahawa shisha adalah haram dalam Islam berikutan beberapa aspek yang secara jelas melanggar syariah dan hukum agama,” katanya.