Untung pracukai Koperasi Tentera tertinggi

0

KUALA LUMPUR: Koperasi Angkatan Tentera Malaysia Berhad (Koperasi Tentera) mencatatkan keuntungan pracukai tertinggi dalam sejarah 52 tahun penubuhannya apabila merekodkan RM249.09 juta bagi tahun kewangan 2012 berbanding RM209.51 juta pada tahun sebelumnya.

Berikutan pencapaian cemerlang itu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengumumkan bayaran dividen sebanyak 14 peratus tahun ini kepada kira-kira 148,000 ahlinya berbanding 12 peratus tahun lepas.

Beliau berkata bayaran dividen yang tinggi itu dilaksanakan berikutan pegangan yuran dan syer terkumpul koperasi itu mencecah RM915 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2012 berbanding RM819 juta pada tahun sebelumnya.

“Bayaran dividen 14 peratus itu melibatkan pembayaran berjumlah RM119 juta dan berharap semua ahli berpuas hati dengan kadar yang diberikan,” kata ketika berucap merasmikan mesyuarat agung ke-48 koperasi itu di Kem Sungai, Sungai Buloh di sini semalam.

Turut hadir Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zain dan Pengerusi Koperasi Tentera, Mejar Jeneral (B) Datuk Paduka Che Hasni Che Ahmad serta 22,000 ahli koperasi itu.

Hishammuddin berkata, pihak pengurusan perlu meneruskan usaha untuk meneroka pasaran baharu bagi meningkatkan pendapatan serta menjamin pulangan dividen sekurang-kurangnya 12 peratus setiap tahun kepada setiap anggota.

Beliau juga berkata koperasi itu, yang mula beroperasi pada 1960, mengorak langkah apabila giat melaksanakan pelan transformasi untuk menjadikannya sebagai sebuah Bank Koperasi menjelang 2015.

“Saya berharap pihak koperasi dapat mempersiapkan organisasi dan meningkatkan keupayaan serta kapasiti bagi merealisasikan hasrat menjadi sebuah bank koperasi,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Hishammuddin, yang juga pemangku Menteri Pengangkutan, menyifatkan tindakan Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA) untuk tetap menaikkan tambang bas ekspres sebanyak 30 peratus sebagai sikap tidak bertanggungjawab.

Beliau berkata Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) kini berunding dengan para pengusaha bas ekspres bagi mencari jalan penyelesaian terbaik.

Pada 14 Jun lepas, PMBOA kekal dengan pendirian untuk menaikkan tambang bas ekspres sebanyak 30 peratus walaupun ada pihak menyifatkannya sebagai terlalu tinggi. — Bernama