Sunday, July 5

Pendidikan teknikal sentiasa diberi penekanan

0

TAHNIAH: Dr Rahman (dua kiri) menyampaikan hadiah pelajar cemerlang kepada pelajar SMK Kubong sambil disaksikan Mortadza (kiri), Suhandi dan Annuar di Limbang semalam.

LIMBANG: Kerajaan negeri sentiasa memberi penekanan dan galakan kepada pembangunan pendidikan teknikal sesuai dengan kerelevanan pendidikan dalam bidang itu dan kejuruteraan, kata Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Beliau berkata, hasrat itu sejajar dengan persaingan yang dihadapi negara pada masa depan selain memastikan pembangunan dan kemajuan negeri ini sebagai negeri maju dan berpendapatan tinggi tercapai dengan jayanya.

“Pelaksanaan agenda ini adalah atas kesedaran bahawa hanya melalui pendidikan saja kita mampu melahirkan modal insan berkualiti sekali gus bersaing dengan pelbagai pihak dalam era serba mencabar.

“Jika diteliti, bidang teknikal mampu melahirkan pelajar cerdik pandai mendapat pekerjaan dan pendapatan lumayan,” katanya pada Penyampaian Hadiah Pelajar Cemerlang Yayasan Sarawak 2013 Peringkat Bahagian Limbang semalam.

Teks ucapannya dibacakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota Dr Abdul Rahman Ismail.

Hadir sama Pegawai Tadbir Khas Yayasan Sarawak Mortadza Alop, wakil Pegawai Daerah Limbang Suhandi Tugiman dan wakil Pegawai Pelajaran Daerah Annuar Naim.

Awang Tengah berkata, landskap dan corak pendidikan negara kini kian berubah dan kecenderungan lebih kepada teknikal dan kejuruteraan selain bidang-bidang pengajian lain.

“Lantaran itu bagi golongan muda yang kurang menonjol dalam bidang akademik, tidak perlu risau kerana Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) memerlukan ramai juruteknik dan pembantu teknikal.

“Sarawak tidak terkecuali daripada menerima pembangunan yang aktif dalam bidang industri berasaskan teknikal termasuk industri tenaga di bawah pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10).

Tambah beliau, pelbagai peluang pendidikan disediakan oleh kerajaan negeri kepada rakyat daripada peringkat kolej hingga peringkat universiti.

Menyentuh mengenai program tersebut, katanya, ia mampu menjadi pendorong dan perangsang kepada para pelajar untuk berusaha gigih mencapai kecemerlangan pada masa depan.

Katanya ini adalah usaha kerajaan untuk menggalak dan memotivsi para pelajar agar terus gigih belajar dan berusaha menguasai sebanyak ilmu dan kemahiran.

“Semua ini mampu dicapai kerana wujudnya kemakmuran dalam negara sehingga membolehkan anak-anak mengakses pendidikan berkualiti.

“Kecemerlangan yang meningkat ini jelas menunjukkan mutu pendidikan di negeri ini jauh membanggakan di bawah kepimpinan Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud,” katanya.

Tambahnya, Sarawak amat memerlukan sumber manusia yang berkemahiran tinggi bagi memenuhi keperluan kerajaan dalam menjadikan negeri ini sebagai negeri industri dengan sepantas yang mungkin.

Seramai 150 pelajar di bahagian ini menerima hadiah cemerlang masing-masing dalam peperiksaan UPSR, PMR, SPM dan STPM bagi tahun 2012.