Program Ilmu Keluarga tingkat kemahiran keibubapaan: Rohani

0

BERMESRA: Rohani bermesra dengan murid-murid SK Kem Pakit semasa menghadiri program di sekolah berkenaan kelmarin.

SRI AMAN: Program Ilmu Keluarga yang diperkenalkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) adalah bagi meningkatkan kemahiran keibubapaan serta memantapkan institusi keluarga.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Rohani Abdul Karim  berkata program itu juga bagi pembangunan remaja dengan menekankan aspek ketahanan diri remaja dalam mengharungi cabaran.

“Sejak tahun 2006 hingga Mac tahun ini, sebanyak 9,084 program ilmu keluarga dilaksanakan oleh LPPKN yang dihadiri seramai 976,823 peserta di seluruh negara.

“Justeru, satu program khusus kepada ibu bapa yang bekerja sama ada di tempat kerja sektor awam atau swasta iaitu program Parenting At Work turut diperkenalkan oleh LPPKN,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Permuafakatan Ibu Bapa Guru dan Sarana Ibu Bapa Tahun 2013 SK Kem Pakit, Sri Aman.

Pada majlis yang sama, Rohani menyampaikan sumbangan sebanyak RM20,000 daripada Yayasan Kebajikan Negara (YKN) kepada anak-anak perwira negara yang berjuang mempertahan negara di Lahat Datu, Sabah.

Sumbangan itu disampaikan kepada Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Kem Pakit, Sri Aman Nassir Nerawi di sini kelmarin.

Rohani berkata, ini merupakan satu program keibubapaan kreatif dan pengurusan konflik agar mereka berupaya mengendalikan aspek pembangunan anak-anak dan keluarga di rumah.

“Sejak 2007 hingga Mac tahun ini, sejumlah 553 program dijalankan yang dihadiri oleh seramai 23,280 peserta.

“Kedua-dua program ini adalah antara program yang dijalankan oleh PIBG SK Kem Pakit dengan LPPKN Negeri Sarawak,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Batang Lupar berkata, sumbangan itu adalah sebagai tambahan untuk pihak PIBG menjalankan aktiviti mereka.

“Seramai 160 pelajar serta 21 orang guru berpeluang memanfaatkan peruntukan itu untuk kecemerlangan sekolah,” katanya.

Hadir sama Ketua Pengarah LPPKN Dr Siti Norlasiah Ismail serta Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita Datin Munirah Abdullah Bajanuddin dan Yang Dipertua PIBG Leftenan Kolonel Zamsari Abu Hassan.