KUCHING: Sarawak akan menjadi tuan rumah Persidangan TELF Asia Antarabangsa Ke-12 pada 28 hingga 30 Ogos 2014 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).
Menteri Muda Pendidikan Awal Kanak-kanak dan Pembangunan Keluarga Rosey Yunus berkata kali ini dijangkakan 1,200 peserta terdiri daripada guru Bahasa Inggeris (BI) sekolah rendah dan menengah serta pensyarah institusi pengajian tinggi dari Malaysia dan negara-negara Asia bakal menyertai persidangan mega itu.
Beliau menambah, daripada jangkaan 1,200 peserta itu, kira-kira 500 merupakan peserta luar negara daripada 36 negara anggota.
“Ini adalah satu penghormatan buat Sarawak kerana telah dipilih menjadi tuan rumah persidangan Mengajar Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Asing/Bahasa Kedua (TEFL) bagi pihak Malaysia selepas kita berjaya menewaskan China dalam bidaan untuk menghoskan forum pendidikan antarabangsa seperti ini… kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah ialah pada 2007.
“Difahamkan sebanyak 450 kertas kerja akan dibentangkan oleh pakar-pakar BI sepanjang tiga hari persidangan berlangsung,” katanya pada sidang media di pejabat Kementerian Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga di Bangunan Baitulmakmur di sini semalam.
Hadir sama pada sidang media itu Presiden Asia TELF Profesor Hyo-Woong Lee, Presiden Persatuan Pengajaran Bahasa Inggeris Malaysia (MELTA) Dr Ganakumaran Subramaniam dan wakil Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Liew Jew Kiong.
Rosey menambah, penganjuran persidangan itu dipercayai akan memberi ruang dan peluang kepada guru BI tempatan berkongsi pengalaman serta kepakaran dalam usaha memantapkan lagi proses pengajaran dan pembelajaran subjek berkenaan.
Menjelas lanjut mengenai persidangan itu Hyo memberitahu bahawa ia antara lain memfokus kepada usaha menyediakan landasan di peringkat wilayah bagi guru-guru serta pelatih BI bersemuka dan berkongsi pengalaman juga kepakaran dengan pelbagai institusi BI dari rantau Asia.
Ia juga katanya, mempromosikan penggunaan bahasa Inggeris yang betul menerusi metodologi sedia ada dan baharu dalam pengajaran dan pembelajaran BI.
“Ini adalah peluang kepada guru-guru BI menimba ilmu pengetahuan menerusi pembentangan kertas kerja dan bengkel sepanjang tiga hari bersidang.
“Pemilihan Sarawak ialah kita mahu mempromosikan program ekopendidikan Inggeris Khas menggunakan kekuatan Sarawak dalam penguasaan bahasa ini dan pada masa sama mempromosikan bahasa Inggeris sebagai bahasa global dalam negeri yang pelbagai budaya serta pelbagai etnik seperti Sarawak,” jelas Hyo.