Urusan daftar peranti perubatan guna MeDC@St

0

PUTRAJAYA: Sistem Aplikasi Atas Talian Berpusat Peranti Perubatan (MeDC@St) yang dibangunkan Kementerian Kesihatan akan membolehkan pihak industri perubatan mendaftar peranti perubatan mereka dengan lebih mudah, cekap dan berkesan.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata pendaftaran mengikut Akta Peranti Perubatan 2012 (Akta 737) itu akan membolehkan pihak berkuasa mempunyai maklumat mengenai pihak mana yang berurusan dengan peranti perubatan tertentu di pasaran.

Beliau berkata pendaftaran itu juga akan dapat membantu dalam mengesan pihak yang bertanggungjawab sekiranya berlaku sebarang masalah atau situasi kecemasan, di samping memudahkan pihak berkuasa menjalankan pemeriksaan dan audit berkala untuk memastikan pematuhan akta secara berterusan.

“Ini penting bagi melindungi kesihatan dan keselamatan awam khususnya dalam memastikan keselamatan dan keberkesanan peranti perubatan yang akan memasuki pasaran Malaysia,” katanya dalam sidang media selepas majlis pelancaran MeDC@St oleh Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam di sini semalam.

Pendaftaran peranti perubatan adalah antara syarat yang terkandung dalam Akta Peranti Perubatan 2012 yang diwartakan tahun lepas, dan peranti perubatan merangkumi pelbagai produk termasuk kanta sentuh mudah, lengan robotik, mesin tomografi berkomputer, peralatan radiasi, defibrillator dan injap jantung.

Dr Noor Hisham berkata sehingga penghujung tahun lepas, 70,000 peralatan perubatan dan 1,000 establismen yang terdiri daripada pembuat, wakil yang diberi kuasa oleh pembuat asing, pengimport dan pengedar, telah mendaftar dengan Kementerian Kesihatan, dan dijangka dengan adanya MeDC@St pendaftaran akan lebih meningkat.

“Sistem ini direka bentuk dan dibangunkan bagi menguruskan pendaftaran dengan lebih cekap serta berkesan. Pengguna boleh mengakses di laman sesawang www.mdb.gov.my,” katanya. — Bernama