KPDNKK rampas 597 botol syampu tiruan

0

SIBU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Cawangan Sibu telah merampas 597 botol syampu Rejoice tiruan yang bernilai RM4,987.30 dari sebuah pasar raya di sini, semalam.

Timbalan Ketua KPDNKK Cawangan Sibu Ganda Jirap berkata, rampasan dibuat hasil aduan daripada pemilik cap dagang iaitu The Procter & Gamble Company (P&G).

“Hasil aduan yang diterima, lapan anggota penguat kuasa KPDNKK telah pergi ke sebuah pasar raya di sini serta merampas 597 botol syampu tiruan jenama Rejoice,” ujarnya kepada pemberita, petang semalam.

Rampasan kira-kira jam 10.30 pagi semalam itu juga merupakan kes pertama melibatkan barangan tiruan di sini pada tahun ini.

Menurut Ganda, kes akan disiasat di bawah Seksyen 5(1)(b) Akta Perihal Dagangan 2012 yang membawa hukuman denda RM100,000 atau tiga tahun penjara bagi orang perseorangan.

Bagi pertubuhan atau syarikat katanya, hukuman yang dikenakan ialah RM250,000.

“Kes masih lagi dalam siasatan terutama bagi mengesan pembekal produk tiruan ini di pasaran,” jelas beliau.

Ganda memberitahu, syampu Rejoice tiruan itu dapat dikenal pasti berdasarkan penutupnya yang agak longgar serta mudah dibuka, selain cetakan pada botol yang kurang berkualiti atau agak pudar.

Orang ramai yang berasa waswas mengenai produk terbabit katanya, boleh menghubungi pemilik cap dagang iaitu P&G melalui talian 1-800-883-957 untuk maklumat lanjut.