Selangor terus ungguli bahas ala Parlimen

0

MILIK KAMI LAGI: Para pendebat serta guru pengiring, Zurita Yeh@Alias daripada SMK Seri Serdang, Selangor merakam kenangan bersama piala kejuaraan setelah dinobatkan johan untuk kali kedua di peringkat kebangsaan semalam.

SIBU: Falsafah jangan memperkecilkan pihak lawan sebaliknya kita perlu terus berusaha menjadi kunci kejayaan Ahmad Safiuddin Ibrahim apabila dinobatkan sebagai pembahas terbaik semalam.

Kejayaan ini turut dirasai rakan sepasukannya apabila Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Serdang, Selangor menjadi johan Bahas Bahasa Melayu Ala Parlimen Sekolah Menengah Peringkat Kebangsaan 2013 di Regalia Ballroom Hotel Kingwood, Sibu.

Usul yang dibentangkan oleh SMK Seri Serdang ‘Pendidikan Vokasional Dimulakan Pada Peringkat Sekolah Rendah’ telah diterima sepenuhnya oleh sidang dewan dalam sesi perbahasan akhir apabila ditentang hebat oleh pihak pembangkang yang diwakil SMK (P) Sultan Ibrahim, Johor sekali gus membawa pulang piala pusingan, piala individu serta sijil.

Manakala SMK (P) Sultan Ibrahim terpaksa akur selaku naib johan sementara tempat ketiga dimenangi oleh SMK Sungai KOB, Kedah serta SMK Derma, Perlis.

Bagi Safiuddin, kejayaan yang diperolehi tidak disangka sama sekali sebaliknya menyatakan itu adalah berkat usaha bersama pasukan sekolah untuk terus memburu kejayaan di peringkat kebangsaan.

“Saya memang tidak menyangka akan dinobatkan sebagai pembahas terbaik kerana rata-rata pembahas adalah terbaik.

“Mungkin ini rezeki serta keberkatan usaha mahupun mengikuti segala nasihat dan tunjuk ajar guru pembimbing.

“Ini suatu yang amat manis kerana ini adalah penglibatan terakhir saya memandangkan saya akan menduduki SPM tahun ini.

“Berdasarkan pengalaman penglibatan sejak dari tingkatan satu, ini adalah kejuaraan kedua bagi sekolah kami yang sebelum ini kami menangi di peringkat kebangsaan pada 2011,” kata Safiuddin, anak bongsu daripada lima beradik ketika ditemui di sini semalam.

Mengenai persepsi sesetengah pihak menyatakan bahawa penglibatan aktif pelajar dalam aktiviti kokurikulum menjejaskan prestasi pelajaran, Safiuddin menyanggah pendapat sedemikian.

“Melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum bukan alasan untuk kita tidak mengecapi kecemerlangan dalam akademik.

“Secara peribadi, penglibatan sedemikian mampu memberi keseimbangan kondusif buat seseorang pelajar malahan secara langsung membentuk skop pemikiran yang lebih proaktif, matang dan meningkatkan keupayaan intelektual pelajar.

“Justeru, saya mengharapkan selepas ini lebih ramai pelajar melibatkan diri dalam aktiviti bahas/debat di peringkat sekolah kerana ia memberi banyak impak positif terhadap aspek kendiri, kemantapan minda serta keyakinan dalam mempertingkatkan komunikasi sosial pelajar,” ujarnya.

Hadiah disampaikan oleh Ketua Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak Ellen@Manium Engang yang mewakili pengarah pelajaran Sarawak.

Turut hadir Penolong Pengarah Unit Bahasa Bahagian Kokurikulum dan Kesenian Kementerian Pendidikan Malaysia Siti Kahdijah Mion, Pegawai Pelajaran Daerah Sibu Wong Chong Kung serta pegawai dan pengurus kontinjen negeri.

Sebanyak 15 pasukan mewakili setiap negeri dan wilayah persekutuan menyertai Pertandingan Bahas Ala Parlimen yang menyaksikan SMK Rosli Dhoby mewakili pasukan tuan rumah Sarawak.