Sunday, July 5

Pelajar terjejas dari Kg Datu dibantu dari segi pengangkutan

0

SIBU: Para pelajar dari Kampung Datu yang terjejas akibat kejadian kebakaran pada 19 Jun lepas, akan diberikan bantuan dari segi pengangkutan untuk pergi dan balik dari sekolah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka Dr Annuar Rapa’ee berkata, tinjauan yang dibuat mendapati tidak ramai pelajar terjejas yang memerlukan bantuan pengangkutan.

“Kebanyakan pelajar ini memilih untuk pindah sekolah. Mereka yang memerlukan pengangkutan ini melibatkan pelajar Tingkatan 3, 5 dan 6 Atas.

“Jumlah mereka tidak ramai iaitu kurang daripada 10 pelajar,” ujarnya kepada pemberita selepas menerima sumbangan untuk mangsa kebakaran Kampung Datu/Hilir daripada jabatan serta agensi persekutuan, semalam.

Dr Annuar yang juga penasihat Jawatankuasa Bantuan Bencana Kampung Datu/Hilir Sibu memberitahu, kebanyakan pelajar dapat menguruskan pengangkutan mereka sendiri selepas berpindah ke kediaman baharu sama ada di Sibu Jaya atau Rantau Panjang.

Bagi yang menghadapai masalah untuk pergi ke sekolah, katanya, mereka akan menyediakan pengangkutan atau memberikan sedikit perbelanjaan bagi tujuan itu.

“Namun pada akhir tahun ini, mereka mungkin terpaksa pindah sekolah ke sekolah berdekatan. Bagaimanapun, ramai pelajar sedia berpindah dan kita akan membantu mereka,” jelas beliau.

Sumbangan semalam disampaikan oleh Timbalan Setiausaha Persekutuan Negeri Sara-wak, Mohd Saiful Sungkih Abdullah.

Antara yang disumbangkan termasuk wang tunai, barangan makanan dan pakaian.