Tuesday, November 12

Program pendidikan lalu lintas semai nilai murni kepada pelajar

0

SARIKEI: Program pendidikan lalu lintas bercorak permainan adalah agenda penting Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) di bawah Kementerian Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan (KPIP) untuk memberi pendedahan dan pendidikan kepada pelajar sekolah tentang peraturan jalan raya.

Residen Bahagian Sarikei Michael Dawi Alli berkata, selain itu program itu akan menyemai nilai-nilai murni di kalangan pelajar sekolah apabila mereka berada di jalan raya.

“Sikap bertimbang rasa, bersopan santun, hormat-menghormati, sabar, berbudi bahasa dan mengutamakan keselamatan diri dan keselamatan pengguna jalan raya lain mampu mengelak kejadian tidak diingini di jalan raya.

“Kita berharap para pelajar yang terlibat dengan program ini akan memanfaatkan setiap pengetahuan dan ilmu yang diperolehi dengan sebaiknya serta berkongsi dengan rakan-rakan lain yang tidak berpeluang untuk mengambil bahagian,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Penutupan Program Pendidikan Lalu Lintas Shell Peringkat Bahagian Sarikei, semalam.

Program diadakan di Taman Lalu Lintas Skim Penempatan Semula Baji Jaya, Sarikei dan disertai oleh 144 pelajar mewakili sembilan sekolah di Bahagian Sarikei.

Menurut Michael, bagi Bahagian Sarikei, statistik menunjukkan pada tahun lepas sahaja, sebanyak 16 kes kemalangan cedera parah telah dicatatkan.

“Jumlah kes tersebut amat membimbangkan kita. Sejajar itu, kita berharap melalui penganjuran permainan seperti ini, usaha memberikan kesedaran kepada masyarakat akan dapat dipertingkatkan.

“Inisiatif pihak Shell menganjurkan permainan ini setiap tahun adalah usaha yang sangat murni dan kita berharap ia dapat diteruskan pada masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Pengangkutan Darat Sarawak Shell Berhad, Metthew Emban berkata, program itu direka khas untuk menyuntik kesedaran dan budaya penggunaan lalu lintas secara berhemah di kalangan peserta.

“Untuk selama setengah kurun atau lima dekad, Shell telah mendidik anak-anak muda Malaysia tentang kepentingan budaya berhemah dan berhati-hati di jalan raya.

“Kita berharap pelaburan kemasyarakatan ini dapat melahirkan pengguna jalan raya yang berhemah dan bertanggungjawab bagi mengurangkan kemalangan dan kematian jalan raya,” jelas Metthew.

Pada majlis sama, Pengerusi Pengelola Program Lalu Lintas Shell merangkap Pengerusi Majlis Daerah Sarikei (MDS) Chan Pan Chan berkata, pertandingan itu disertai oleh lima sekolah rendah dan empat sekolah menengah.

“Lima sekolah rendah berkenaan ialah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Su Lee, Sekolah Kebangsaan (SK) Agama, SJKC Kwang Chien, SK Bukit Nibong Bintangor dan SK Sungai Kawi.

“Manakala sekolah menengah pula terdiri daripada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pakan, SMK Tinggi Sarikei, SMK Bandar Sarikei dan SMK St Anthony.

“Kita ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak Shell kerana telah memberikan peruntukan berjumlah RM40,000 untuk memperbaiki Taman Lalu Lintas Sarikei dan RM9,000 untuk membiayai kos program ini. Kita juga berterima kasih kepada MJKR yang menyumbang peruntukan berjumlah RM2,000 bagi menjayakan program ini,” ujar Chan.

Pada pertandingan itu, juara keseluruhan untuk kategori sekolah rendah ialah SJKC Kwang Chien, naib johan SJKC Su Lee dan tempat ketiga SK Agama Sarikei.

Manakala untuk kategori sekolah menengah, SMK St Anthony muncul johan, SMK Bandar Sarikei berada di tempat kedua dan SMK Tinggi Sarikei, ketiga.

Johan pertandingan akan menjadi wakil Bahagian Sarikei ke pertandingan peringkat bahagian yang bakal berlangsung di Kuching pada bulan Oktober nanti.