Banyak projek jalan diperdebat dalam Facebook bukan bawah MBM

0

MIRI: Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri (MBM) Lawrence Lai mahu semua pihak yang asyik menyalahkan pihaknya berhubung projek pembinaan jalan dalam kawasan perumahan, supaya mengkaji dahulu sebelum memperdebat sesuatu isu dalam laman sosial.

Beliau berkata sejak akhir-akhir ini semakin banyak isu mengenai jalan di kawasan perumahan terutama yang sedang dan baharu dibina, diperdebatkan dalam laman sosial seperti Facebook dengan ramai yang tidak faham prosedur projek, sewenang-wenangnya menuding jari kepada MBM.

Berikutan aduan tersebut, Lawrence menjelaskan bahawa semua projek yang dibina di sesebuah kawasan perumahan termasuk jalan raya, adalah di bawah bidang kuasa pemaju perumahan tersebut dan bukannya MBM.

“Ia hanya akan menjadi bidang kuasa MBM selepas diserahkan secara rasmi oleh pihak pemaju kepada MBM, berserta dengan sijil pengesahan bagi membolehkan MBM mengambil alih tugas-tugas penyelenggaraan.

“Ini bermakna selagi projek tersebut, perumahan dan jalan-jalan raya yang dibina di dalam dan sekitar kawasannya, belum diserahkan kepada MBM secara rasmi dan sah, maka ia bukan di bawah bidang kuasa kami tetapi masih berada di bawah seliaan pihak pemaju,” katanya kepada Utusan Borneo di sini.

Antara isu yang paling hangat diperdebatkan dalam Facebook ketika ini ialah berhubung projek pembinaan perumahan yang baharu di belakang kawasan perumahan Taman Tunku, termasuk jalan yang dicadang untuk disambungkan dengan jalan menuju ke Lapangan Terbang Miri.

Jalan raya yang baharu itu merupakan laluan utama masuk ke kawasan perumahan baharu tersebut dan ke kawasan perumahan Taman Tunku amnya.

“Selain jalan berkenaan, sistem lampu isyarat yang sudah dipasang namun masih belum beroperasi turut dipersoalkan.

“Berhubung aduan mengenai perkara tersebut, MBM ingin memaklumkan kepada orang awam bahawa projek pembangunan perumahan tersebut termasuk pembinaan jalan baharu (sepanjang 5km) yang menghubungkan kawasan perumahan lama dan baharu di Taman Tunku serta sistem lampu isyarat tersebut, adalah masih di bawah kuasa dan seliaan pihak pemaju berkenaan.

“Justeru, perkara tersebut perlu dirujuk kepada pihak pemaju berkenaan dan jalan baharu yang diperdebatkan (kerana menimbulkan kesesakan trafik yang teruk di Taman Tunku ekoran pembinaannya) masih belum diserahkan kepada MBM dan ini bermakna ia bukan di bawah bidang kuasa MBM untuk menyelesaikan isu yang dibangkitkan,” jelas beliau.

Berikutan penjelasan tersebut, Lawrence berharap orang ramai khususnya sesetengah pihak yang sering menuding jari kepada MBM termasuk wakil rakyat (pembangkang) di sini faham prosedur berkenaan dan berhenti menyalahkan pihak-pihak lain.