Isu perkahwinan rakyat tempatan,warga asing perlu dipandang serius: Wan Junaidi

0

UPACARA ‘MIRING’: Wan Junaidi (duduk kiri) menyaksikan upacara ‘miring’ pada sambutan Majlis Penghargaan Pemimpin Bersama Rakyat Peringkat Parlimen Santubong di Lundu semalam.

LUNDU: Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengingatkan pemimpin dan ketua masyarakat agar memandang serius isu perkahwinan yang membabitkan rakyat tempatan dan warga asing di kawasan masing-masing.

Berucap pada sambutan Majlis Penghargaan Pemimpin Bersama Rakyat Peringkat Parlimen Santubong di Dewan Kampung Sungai Lundu di daerah ini semalam, Wan Junaidi berkata masalah ini perlu diberi perhatian sewajarnya oleh pemimpin dan ketua masyarakat.

Katanya masalah perkahwinan membabitkan rakyat tempatan dengan warga asing tidak hanya berlaku di kalangan masyarakat Bumiputera seperti Melayu, Iban, Bidayuh dan lain-lain tetapi turut dihadapi oleh masyarakat bukan Bumiputera iaitu Cina.

“Saya mendapati bahawa masalah perkahwinan dengan rakyat dari negara jiran ini  tidak hanya berlaku di kalangan masyarakat Melayu, Iban, Bidayuh dan lain-lain tetapi masalah yang sama turut berlaku di kalangan masyarakat Cina.

“Sebab itu, ingin saya mengingatkan kepada pemimpin dan ketua masyarakat di sini supaya berjaga-jaga dengan masalah ini dan memastikan perkahwinan antara dua pihak ini dijalankan mengikut prosedur atau proses yang tepat.

“Tujuannya adalah untuk memastikan proses perkahwinan ini didaftarkan secara sah dan memudahkan proses pendaftaran sijil kelahiran anak serta persekolahan pada masa akan datang,” katanya.

Tambah Wan Junaidi, pelbagai program telah dilaksanakan oleh kementeriannya untuk menangani isu perkahwinan antara rakyat tempatan dan warga asing termasuk di Sabah dan Sarawak.

Malah katanya, beliau telah mengadakan kunjungan terhadap Ketua Menteri Sabah dan Ketua Menteri Sarawak untuk membincangkan perkara ini serta langkah sewajarnya yang perlu diambil untuk menangani masalah ini.

Antara program yang giat dilaksanakan termasuk ‘Outreach Program’, mencari pasangan yang tidak dan gagal mendaftarkan perkahwinan mengikut prosedur yang tepat.

Dalam perkembangan lain, Wan Junaidi yang juga Ahli Parlimen Santubong berkata kemenangan Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusi Parlimen Santubong pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) lalu disifatkan sebagai satu fenomena.

Katanya nisbah kemenangan BN di Santubong adalah yang tertinggi berbanding kawasan-kawasan lain  iaitu 85.56 peratus.

Bagaimanapun katanya, kemenangan tersebut bukan milik beliau seorang tetapi adalah kemenangan rakyat secara keseluruhannya terutama pengundi di kawasan Parlimen Santubong.

Mengulas mengenai permohonan yang dikemukakan oleh pengerusi pengelola Ramlee Galau pada majlis itu, Wan Junaidi berkata beliau bersama jentera Pusat Khidmat Parlimen Santubong akan berusaha mendapatkan peruntukan sewajarnya bagi tujuan menaik taraf dewan sedia ada di kampung berkenaan.

Bagaimanapun katanya, mengikut syarat bagi tujuan menaik taraf kurang daripada RM200,000 akan diperuntukkan dan peruntukan kurang daripada RM500,000 untuk bina semula dewan.

Turut hadir pada majlis itu Pegawai Daerah Lundu Azmi Bujang, pemimpin dan ketua masyarakat dan penduduk kampung.