Saturday, May 15

Lebih 1,000 guru diperlukan ajar mata pelajaran Bahasa Iban di Sarawak

0

MIRI: Lebih 1,000 guru diperlukan untuk mengajar mata pelajaran Bahasa Iban di seluruh Sarawak berbanding sekarang hanya 280 guru.

Pengarah Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Sarawak Bedui Une berkata, kekurangan tenaga guru untuk mengajar mata pelajaran tersebut amat ketara dan perlu diatasi segera.

“Setakat ini, hanya beberapa sekolah mengajar Bahasa Iban kerana kekurangan guru.

“Sekiranya masalah ini tidak ditangani, kita bimbang ia akan menjejaskan usaha untuk meningkatkan penguasaan bahasa Iban di kalangan generasi muda seterusnya pupus,” katanya pada penutupan Seminar Bahasa Iban di IPG Kampus Sarawak, di sini kelmarin.

Sehubungan itu, Bedui menggalakkan lebih ramai guru mengajar mata pelajaran tersebut di sekolah menengah bagi memastikan bahasa ini terus terpelihara.

“Kita tidak mahu generasi muda khususnya kaum Iban tidak memahami bahasa Iban yang betul.

“Malah, kita mahu penggunaan bahasa ini diperluaskan di kalangan kaum lain,” katanya.

Sementara itu, pengerusi penganjur Nelson Tandang berkata ini merupakan julung kali IPG Kampus Sarawak menjadi tuan rumah kepada seminar tersebut dan beliau berharap ia dapat dijadikan sebagai acara tahunan.

“Seminar ini mendapat sambutan menggalakkan apabila 150 peserta terdiri daripada ketua kaum, ketua rumah panjang, guru dan ahli-ahli persatuan dan organisasi mengambil bahagian,” katanya.

Sementara itu, seminar tersebut dikendalikan oleh dua penceramah iaitu Ketua Jabatan Bahasa Moden Universiti Pendidikan Sultan Idris, Perak Dr Chemaline Osup  dan Padang Luna daripada Bahagian Pembangunan Kokurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia.