Skuad Piala Presiden Sarawak ketandusan penyerang berkaliber

0

KUCHING: Pengurus Skuad Piala Presiden Sarawak, Haidel Heli berkata ketandusan penyerang berkaliber menjadi punca keputusan hambar pasukannya dalam saingan liga berkenaan musim ini.

Katanya, kualiti yang ada pada penyerang sedia ada masih belum mencukupi untuk membantu skuad berkenaan memburu kejayaan.

“Secara peribadi, saya melihat rentak permainan kita dengan skuad lain sepanjang saingan adalah serupa.

Setiap posisi memainkan peranan masing-masing dengan baik dan berkesan.

“Cuma menjadi masalah adalah kita kekurangan gol, kerana ketiadaan penyerang berkualiti,” katanya kepada di sini semalam.

Menurut Haidel, beliau akan mencari penyerang baharu secepat mungkin bagi memantapkan persediaan Sarawak menghadapi saingan musim hadapan.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan sebahagian besar pemain dari skuadnya akan diserap ke dalam skuad SUKMA 2014.

“Kebanyakan pemain dari skuad sekarang masih muda, sekitar 18 hingga 20 tahun.

Justeru, mereka masih berpeluang mewakili Sarawak pada SUKMA 2014 di Perlis nanti.

“Saya harap pengalaman ketika beraksi pada Piala Presiden akan dimanfaatkan sebaiknya oleh para pemain untuk memberi saingan menarik pada SUKMA nanti,” tambah beliau.

Setelah melalui 34 perlawanan, Sarawak menamatkan saingan Piala Presiden di kedudukan ke-15 dengan mengumpul 29 mata hasil dari enam kemenangan, 11 seri dan 17 kekalahan.

Mereka dibimbing oleh penolong jurulatih, Awang Jobli Awang Bidin yang mengambil alih tugas daripada Mohd Farhan Abdullah.