Watson kini dalam dilema

0

SERTAI MALAYSIA: Watson dipanggil untuk menyertai kem latihan skuad kebangsaan di Kuala Lumpur.

KUCHING: Pemain sofbol Sarawak, Watson Payrie Stephen berada dalam dilema setelah dipanggil untuk menjalani latihan bersama skuad kebangsaan di Kuala Lumpur.

Ia sebagai persediaan menghadapi Kejohanan Sofbol Bawah 19 Tahun Asia di Thailand yang dijangka diadakan pada Oktober atau November nanti.

Pelajar berusia 17 tahun dari SM St Joseph, Kuching itu mencuri perhatian ketua jurulatih kebangsaan setelah mempamer aksi meyakinkan pada temasya SUKMA XVI di Universiti Putra Malaysia (UPM) di Serdang, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sebelumnya, ketua jurulatih dari Pahang, Ong Siang Loon telah berbincang dengan Watson sendiri agar beliau menyertai kem latihan berkenaan pada September nanti.

Presiden Persatuan Sofbol Sarawak (PSS), Ishak Chin Abdullah berkata: “Ia adalah satu penghargaan buat persatuan dan Sarawak setelah Watson dipanggil untuk menyertai skaud kebangsaan”.

Namun, katanya, ia terpulang kepada beliau sendiri (Watson) sama ada mahu menerima atau menolak tawaran tersebut.

“Masalah yang dihadapi Watson adalah beliau akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi.

Seperkara lagi, beliau perlu mengeluarkan perbelanjaan sendiri sepanjang sesi latihan berkenaan,” katanya di sini semalam.

Menurutnya, Persatuan Sofbol Malaysia (PSM) tidak menyediakan dana kepada atlet menjalani latihan di Kuala Lumpur.

“Apapun, kita akan berusaha mencari penaja… jika Watson bersetuju menyertai latihan itu.

Keluarga Watson hanya akan memberi kata putus sebaik menerima surat rasmi daripada pihak terbabit,” katanya.

Ong mula meminati Watson setelah melihat beliau beraksi pada Kejohanan Terbuka Kebangsaan dan Kejohanan Sofbol Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) pada April dan Jun lalu.

Jelas beliau, Watson yang juga bekas pemain kriket remaja dan telah bermain sofbol selama dua tahun merupakan pemain terbaik ‘Third Baseman’ pada SUKMA XVI Kuala Lumpur.

Beliau juga mewakili Kelab Sofbol Kuching Gypsies.