Kepelbagaian buku sukar diperolehi tarikan utama MV Logos Hope

0

JOM DATANG BERAMAI-RAMAI: Pesta buku terapung terbesar di kapal MV Logos Hope, Pelabuhan Sim Kheng Hong, Pending.

KUCHING: Kepelbagaian jenis buku yang sukar diperolehi menjadi tarikan utama orang ramai berkunjung ke pesta buku terapung terbesar, kapal MV Logos Hope.

Pesta buku terapung yang menghimpunkan lebih 5,000 buku pelbagai jenis dari serata dunia kembali semula ke Sarawak bermula kelmarin selepas kali terakhir berlabuh di Pelabuhan Sim Kheng Hong pada Oktober 2011.

Menurut Dennis Gri, 44, dari Taman Indah Landeh, Padawan, keunikan dan kepelbagaian pilihan buku dari serata dunia menjadi tarikan untuk dia bersama keluarganya datang mengunjungi pesta buku terapung itu.

“Ini merupakan kali pertama saya mengunjungi pesta buku terapung di kapal MV Logos Hope ini dan di sini terdapat pelbagai jenis buku yang tidak didapati di mana-mana kedai buku terutamanya buku kanak-kanak.

“Sebab itu saya membawa anak-anak datang ke pesta buku terapung ini bagi melihat dan mendapat pengalaman baharu menaiki kapal MV Logos Hope selain mendapatkan buku-buku bacaan untuk anak-anak,” katanya ketika ditemui semalam.

Sementara itu, isterinya, Pauline Ubie berkata, dia dan tiga anaknya, Manesha Dorris, Mike Emanuel Apong dan Mercurrey Gaugarin amat teruja melihat keunikan yang terdapat di ruang pameran dalam kapal itu.

“Kita boleh merasakan kelainan yang amat ketara mengunjungi pesta buku terapung ini berbanding dengan pesta-pesta buku lain.

“Ia amat memberi makna serta pengalaman baharu kepada saya dan anak-anak,” katanya sambil merancang untuk datang semula ke pesta buku terapung itu lagi pada masa akan datang.

Seorang lagi pengunjung, Jefferson Davis, 30, dari RPP Landeh berkata, dengan adanya pesta buku terapung di kapal MV Logos Hope, ia menjadi tempat baharu sementara untuk dia meluangkan masa bersama anak-anaknya.

Selain itu, katanya, ia juga dapat dijadikan platform untuk meningkatkan masyarakat ulat buku di negeri ini khasnya di bandar raya Kuching.

“Inilah masa dan tempat sesuai untuk saya bersama keluarga dan dalam masa yang sama dapat menggalakkan masyarakat membaca.

“Malah, bahan bacaan yang dijual di sini (MV Logos Hope) lain daripada yang ada di kedai-kedai buku dan sudah pastinya memberi ilmu baharu kepada pembacanya,” ujarnya.

Justeru, dia berharap pesta buku seperti itu dijalankan setiap tahun untuk menggalakkan dan menyemai minat membaca di kalangan masyarakat di bandar raya ini.

MV Logos Hope akan dibuka kepada orang ramai mulai 12 Julai ini hingga 1 Ogos 2013 bermula dari jam 10 pagi hingga 9.30 malam pada (Rabu hingga Sabtu) 1 petang hingga 9.30 malam (Ahad) dan 2 petang hingga 9.30 malam (Isnin dan Selasa).

Bayaran masuk hanya RM1 bagi orang dewasa manakala kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah percuma tetapi mesti diiringi orang dewasa.