Bengkel prapersidangan sempena ICCS 2013

0

KUCHING: Satu bengkel prapersidangan bakal diadakan sempena Persidangan Antarabangsa Sains Kognitif Kesembilan (ICCS 2013) yang akan diadakan di sini, Ogos depan.

Sebanyak enam kertas kerja akan dibentangkan pada bengkel yang akan diadakan pada 26 Ogos dan sebagai tambahan tiga bengkel akan diadakan dalam dua sesi pagi dan petang.

Bengkel-bengkel ini akan dihadiri oleh mahasiswa, graduan, pensyarah dan penyelidik di Makmal Komputer dan Teater Multimedia di Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Sumber Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Tujuan penganjuran bengkel berkenaan adalah untuk mendedahkan kepada peserta mengenai teori dan aplikasi pelbagai topik yang akan dibentangkan pada persidangan sebenar.

Antara penceramah pada bengkel berkenaan ialah Profesor Allan Hobson, Profesor Rosalia Silvestri, dari Amerika Syarikat, Profesor William Hayward (Hong Kong), Profesor Loo Chu Kiong (Malaysia), Profesor Naomi Miyake (Japan), Profesor Jack Copeland (New Zealand) dan Dr Heather Winskel (Australia).

Pendaftaran untuk kedua-dua persidangan dan bengkel prapersidangan masih dibuka.

Sebarang kemusykilan sila kemukakan kepada urus setia ICCS 2013 di [email protected].