Wednesday, November 13

Pemborong hilang sebuah van berisi barang permainan

0

SIBU: Seorang pencuri melarikan sebuah van dari rumah seorang lelaki pada malam Jumaat lalu yang dikatakan dipenuhi dengan barang permainan bernilai lebih RM10,000.

Lelaki berusia lingkungan 60-an itu adalah pemborong barang permainan.

Sebelum kejadian, beliau baharu sahaja menyimpan barang permainan dan meletakkannya di dalam van.

Difahamkan, van mangsa pada masa kejadian berada di garaj rumahnya.

Mangsa menyedari vannya lesap pagi semalam selepas bangun dari tidur.

Pemborong tersebut kemudian memeriksa kenderaannya melalui tingkap bilik tidur dan mendapati pagar rumahnya terbuka.

Dia yang bergegas keluar mendapati vannya yang berwarna coklat hilang dipercayai dilarikan pencuri.

Lelaki terbabit membuat laporan polis.

Dalam kes berasingan, seorang wanita berusia 44 tahun kerugian RM1,500 selepas rantai lehernya diragut di pasar pagi kelmarin.

Sebelum kejadian, wanita itu meletakkan keretanya berhampiran Pasar Minggu di Jalan Mahsuri di sini dan berjalan kaki.

Mangsa ketika itu merasakan diekori rapat dua lelaki bermotosikal dan apabila menoleh ke belakang, si pembonceng lantas meragut rantai lehernya.

Kedua-dua lelaki berkenaan kemudian memecut laju selepas mendapatkan rantai leher wanita itu.

Kejadian yang berlaku terlalu pantas menyebabkan mangsa gagal mengenal pasti maklumat berkaitan peragut yang dipercayai berusia lingkungan 40-an.