Pencuri kebas beras ketika gangguan bekalan elektrik

0

LIMBANG: Gangguan bekalan elektrik selama empat hari di kawasan Medan Bangkita di sini baru-baru ini, merupakan kesempatan kepada pencuri untuk melakukan aktiviti jenayah termasuk mencuri barangan milik peniaga di kawasan tersebut.

Dalam kejadian malam Khamis lalu, seorang peniaga kerugian lebih RM2,000 apabila gerainya diselongkar dan beberapa barang makanan dilarikan.

Mangsa, Rasidah Abdullah, 50, berkata kejadian berlaku mungkin disebabkan ketiadaan bekalan elektrik sejak empat hari lalu yang menyebabkan pencuri berani menyelongkar barangan peniaga.

Akibat kejadian itu, beberapa barangan makanan Rasidah dilarikan pencuri termasuk 80 gantang dan 50 bungkus beras tempatan.

“Saya hanya menyedari kecurian sebaik memulakan aktiviti perniagaan pagi Jumaat, setelah mendapati kunci mangga di stor/meja menyimpan beras dipecahkan pencuri,” katanya di sini kelmarin.

Menurutnya, sebelum meninggalkan gerai kesemua barangan disimpan dengan elok di dalam stor terbabit.

Katanya susulan kejadian itu dia dan suaminya membuat laporan polis sekitar jam 8 pagi, Jumaat lalu.

Rasidah memberitahu, sebelum ini dia turut mengalami kerugian akibat kecurian sama termasuk kes kecurian kali ketiga yang berlaku malam Khamis lalu.

“Sebagai peniaga yang ingin mencari sesuap nasi, kami memang bimbang dengan beberapa kes kecurian yang berlaku di sini kebelakangan ini.

“Kami berharap pihak keselamatan dan pihak berkuasa tempatan memandang serius perkara ini dalam usaha membendung kes kecurian termasuk menempatkan pengawal keselamatan di Medan Bangkita,” katanya.