Tuesday, July 7

Blok rumah kedai ranap

0

KEPULAN ASAP HITAM: Orang ramai kelihatan berkerumun menyaksikan api marak membakar sebuah blok kedai di bandar Sibu, semalam.

Blok merangkumi lebih 20 perniagaan musnah dalam kebakaran di Sibu

SIBU: Satu blok rumah kedai yang merangkumi lebih 20 jenis perniagaan terletak di Jalan Tukang Besi di bandar ini musnah dalam kebakaran yang berlaku pagi semalam.

Kepulan asap tebal yang menyelubungi awan dapat disaksikan dari jarak lima kilometer dari lokasi kebakaran pada jam 11 pagi itu.

Ketua Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Sibu Rafie Sapar berkata api dipercayai bermula dari tingkat atas salah satu daripada rumah kedai tersebut pada jam 10.50 pagi.

Katanya pihak daripada Pusat Gerakan Operasi (PGO) di Kuching yang menerima panggilan kecemasan pada jam 11.03 pagi telah memaklumkan balai bomba di sini mengenai kebakaran tersebut.

Dua kenderaan pemadam api daripada Balai Bomba Sentral telah dikerahkan ke lokasi kebakaran tiga minit kemudian.

Menurutnya, dua kenderaan pemadam api daripada Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Merah dan Bintangor dan sebuah lagi kenderaan pemadam api daripada Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) turut dikerahkan untuk membantu memadamkan kebakaran tersebut.

Rafie memberitahu, api merebak dengan pantas dan dalam masa kurang sejam telah memusnahkan hampir keseluruhan blok tersebut.

Turut terjejas sebuah klinik milik kaunselar Dr Isa’ali’ Wasli, pejabat surat khabar The International Times, Makmal BP Blood, sebuah kedai emas, sebuah pejabat insurans, kedai menjual colok, sebuah restoran, kedai motosikal, salun rambut, kedai telefon bimbit, kedai buku, kedai pengurup wang yang juga menjual peluru dan pelbagai barangan.

Rafie memberitahu, seramai 39 anggotanya dan 12 anggota JPAM turut betungkus-lumus memadamkan api.

“Anggota-anggota bomba juga terpaksa menggunakan tangga dari luar bangunan untuk memadamkan api yang sedang marak,” katanya sambil menambah tangga-tangga tersebut dibawa oleh kenderaan pemadam api daripada Balai Bomba Bintangor.

Beberapa pemilik kedai yang terjejas hanya mampu menyelamatkan sebahagian daripada barang jualan mereka.

“Saya tidak dapat menyelamatkan semua barang di salun rambut saya kerana terlalu takut melihat api yang merebak begitu cepat.

“Mula-mula saya fikir ada orang kena ragut apabila tauke kedai makan berdekatan menyuruh saya keluar dari kedai,” kata pemilik salun rambut, Retty Luat, 38.

Katanya dia dan dua pekerjanya hanya mampu menyelamatkan sebahagian daripada produk rawatan rambut dan sedikit wang tetapi beberapa dokumen penting kedai habis musnah dijilat api.

Ling Koah Luen, 31, anak kepada seorang tauke kedai kraf tangan memberitahu bahawa dia berada di luar ketika dimaklumkan mengenai kebakaran itu oleh seorang rakannya.

“Saya bergegas pergi ke kedai kraf tangan milik ayah saya dan turut membantu mengeluarkan beberapa barang keluar sebelum kami dihalang masuk ke dalam kedai oleh anggota polis kerana bimbang nyawa kami akan terancam,” kata Ling.

Rafie berkata api berjaya dikawal pada jam 12.17 tengah hari dan berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 1.13 petang.

“Nasib baik api tidak merebak ke bangunan bersebelahan dan tiada kehilangan nyawa dilaporkan dalam kebakaran itu,” katanya.

Beliau berkata, punca kebakaran dan jumlah kerugian belum dapat dipastikan namun ramai mengatakan kerugian akibat kebakaran tersebut mencecah beberapa juta ringgit.

Menteri Kewangan Kedua dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Masyarakat Dato Sri Wong Soon Koh turut berada di lokasi kejadian semasa kebakaran tersebut.

Kebakaran tersebut merupakan kali yang ketiga berlaku di bandar ini dalam tempoh setengah tahun ini.

Pada 19 Jun lalu, kira-kira 60 rumah kampung tradisi di Jalan Kampung Datu/Kampung Hilir musnah dijilat api.

Seramai 585 orang daripada 135 keluarga kehilangan tempat tinggal.

Terdahulu, sebuah bangunan industri juga musnah terbakar dipercayai akibat litar pintas dalam kebakaran di Lorong 20, Jalan Lanang pada 20 Mei lalu.