Dua warga emas nyaris maut dibadai puting beliung

0

MUSNAH: Kelihatan bumbung sebuah kilang papan yang terletak berhampiran Kampung Batu Satu, Jalan Kuala Baram rosak teruk setelah dibadai angin puting beliung pagi semalam.

MIRI: Dua wanita warga emas nyaris maut setelah terpelanting beberapa meter akibat dibadai angin puting beliung yang turut meranapkan gerai jualan mereka dalam kejadian yang berlaku di Kampung Batu Satu, Jalan Kuala Baram di sini pagi semalam.

Berikutan kejadian itu, salah seorang mangsa yang dikenali sebagai Miri Jue, 55, mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan termasuk patah pergelangan tangan kiri.

Manakala rakannya, Hapsah Rajak, 58, cedera di dahi dan bahu kiri serta beberapa bahagian badan yang lain.

Selain gerai buah-buahan mangsa, angin puting beliung yang berpusar beberapa kali dilihat datang dari arah laut turut merosakkan bahagian bumbung sebuah kilang papan serta bumbung rumah milik Miri yang terletak berdekatan di tepi Jalan Batu Satu di sini.

Menurut Hapsah, semasa kejadian sekitar jam 8.30 pagi itu, dia dan Miri sedang menjual beberapa jenis buah-buahan tempatan di gerai tersebut apabila tiba-tiba ternampak angin kencang yang datang dari arah laut sambil berpusar-pusar menuju ke arah mereka.

“Tiba-tiba makcik dan seorang rakan (Miri) terasa seperti diangkat ke udara beberapa saat sebelum terhempas semula ke tanah.

“Akibat ketakutan, sebaik terhempas kami berdua saling berpelukan.

“Nasib baik kami tidak terpelanting ke dalam longkang besar yang terletak di belakang gerai serta dipenuhi air akibat dibadai angin puting beliung tersebut,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini tengah hari semalam.

Berikutan kejadian itu, kedua-dua mangsa dikejarkan oleh ahli keluarga mereka ke Hospital Miri untuk mendapatkan rawatan segera.

Setibanya di hospital, Miri dimasukkan ke wad bagi mendapatkan rawatan lanjut manakala Hapsah hanya diberikan rawatan sebagai pesakit luar.

Sementara itu, menurut anak lelaki Miri, Arman sebaik terdengar bunyi bising di luar rumah, dia bergegas ke arah gerai ibunya yang terletak hanya beberapa meter dari rumah mereka.

Sebaik terpandang ke arah gerai, alangkah terkejutnya apabila mendapati gerai jualan ibunya ranap manakala ibunya terbaring sambil berpelukan dengan Hapsah di atas tanah.

“Gerai ibu saya musnah sama sekali dan yang tinggal hanya lantai simen, manakala bumbung bersepai entah ke mana akibat dilanda puting beliung.

“Saya kemudian membawa ibu dan makcik Hapsah berteduh di tempat selamat,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Dalam pada itu, menurut seorang pekerja di kilang papan berkenaan yang hanya dikenali sebagai Azman, 41, semasa kejadian dia dan beberapa pekerja lain sedang melakukan tugas masing-masing di salah satu bangunan di kilang berkenaan.

“Tiba-tiba kami terdengar bunyi kuat dan pelik di luar. Sejurus itu kami keluar melihat apa yang berlaku dan kemudian ternampak angin sedang berpusar-pusar dari arah laut sebelum membadai bumbung kilang,” katanya.

Azman memberitahu, angin kuat itu mungkin datang dari arah gerai mangsa yang terlebih dahulu dilanda angin puting beliung tersebut.

Tergamam dengan apa yang berlaku, semua pekerja segera bertindak mencari tempat berlindung untuk menyelamatkan diri.

“Apapun, kami bersyukur kerana tiada yang cedera dalam kejadian yang berlaku hanya dalam masa 10 minit,” katanya.

Kilang papan terbabit hanya terletak beberapa meter dari gerai dan rumah mangsa.

Tinjauan Utusan Borneo di tempat kejadian semalam, mendapati gerai kedua-dua mangsa musnah sama sekali dengan atap gerai dan bumbung kilang bersepah di merata-rata tempat hingga ada yang tersangkut di kabel elektrik.