Kekurangan peninju wanita

0

BANGGA: (Dari kiri) Nurzafarisha, Ayu ArynaaIza dan Ayu Azrynna menunjukkan pingat yang mereka menangi dalam acara muay thai sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching baru-baru ini.

KUCHING: Presiden Persatuan Muay Thai Kuching (PMK), Jumaat Ibrahim yakin Sarawak mampu melahirkan lebih ramai peninju muay thai wanita yang berpotensi menyumbang kejayaan kepada negeri di masa akan datang.

Namun, beliau berkata usaha itu tidak mudah dan memerlukan sokongan padu dari pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri.

“Kita akan berbincang dengan kerajaan negeri melalui Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) dan Kementerian Pembangunan Sosial (KPS) mengenai strategi berkesan untuk menarik lebih ramai penyertaan kaum wanita dalam sukan muay thai.

“Antara langkah yang akan dilaksanakan adalah mengadakan promosi dan menganjur lebih banyak pertandingan melibatkan peserta wanita secara berterusan,” katanya semasa dihubungi semalam.

Jumaat menjelaskan, kejayaan tiga atlet wanita memenangi dua pingat perak dan satu gangsa pada SUKMA XVI baru-baru ini harus dijadikan pendorong kepada atlet lain yang berminat untuk menceburi sukan tempur itu.

“Kejayaan yang dicapai oleh ketiga atlet wanita kita bukanlah mudah dan memerlukan pengorbanan yang tinggi.

Mereka telah menunjukkan disiplin yang tinggi demi untuk mengharumkan nama negeri.

“Justeru, saya berharap peserta baharu akan mencontohi apa yang telah ditunjukkan oleh ketiga atlet itu.

Muay thai adalah sukan yang cukup lasak dan mereka yang tidak mempunyai mentaliti serta semangat yang kuat akan mudah mengalah,” katanya.

Katanya lagi , sokongan dari ibu bapa juga amat penting dalam meningkatkan jumlah peserta muay thai wanita di sini.

“Saya tidak dapat menganggarkan jumlah keseluruhan peserta wanita yang kita ada namun saya yakin ia masih belum mencukupi.

“Ini kerana Sarawak masih dianggap pendatang baharu dalam sukan ini berbanding negeri-negeri lain,” ujarnya.

Tiga atlet yang memenangi pingat pada SUKMA XVI barubaru ini ialah Ayu ArynaaIza Azmi (perak ) , Ayu Azrynna Azmi (gangsa) and Nurzafarisha Zafari (perak)