Kempen 16:16 PAS tidak akan diterima rakyat: Hishammuddin

0

KUALA BESUT: Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata usaha PAS mewujudkan pentadbiran kerajaan Terengganu yang tergantung menerusi kempen 16:16 tidak akan diterima rakyat, terutamanya pengundi pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut.

Menyifatkannya sebagai tindakan populis bagi meraih perhatian, Naib Presiden UMNO itu berkata kempen sebegitu jelas tidak rasional kerana setiap individu dan rakyat di sesuatu kawasan atau negeri tentunya tidak mahu melihat keadaan kucar kacir dalam pentadbiran kerajaan.

“Itu tindakan populis tetapi bagi mereka yang rasional kempen sebegitu adalah tidak masuk akal.

“Jika inginkan keadaan 16:16, bermakna mereka sengaja inginkan kerajaan tergantung dan visi sebegitu sebenarnya dibawa oleh mereka yang tidak memikirkan masa depan rakyat Terengganu sebagai keutamaan,” katanya pada sidang media selepas menyerahkan kunci rumah kepada veteran angkatan tentera di Kampung Beris Pak Abu, Gong Kedak di sini semalam.

Turut hadir Panglima Tentera Udara Tan Sri Rodzali Daud dan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia Datuk Zulkiflee Mazlan.

Beliau mengulas kempen 16:16 yang giat diusahakan PAS di Kuala Besut, yang merujuk kepada kedudukan kerusi DUN Terengganu andai pilihan raya kecil DUN Kuala Besut memihak kepada PAS.

Selepas pilihan raya umum Mei lepas, Terengganu kekal ditadbir Barisan Nasional (BN) yang menang 17 kerusi, manakala baki 15 lagi diwakili pembangkang iaitu 14 daripada PAS dan satu wakil PKR.

Hishammuddin berkata selain cubaan menjadikan kerajaan tergantung, tujuan sebenar kempen itu adalah bagi membolehkan pembangkang melakukan fitnah berterusan ke atas apa sahaja bantuan dan perancangan yang dilakukan BN kepada rakyat.

“Tidak ada pihak yang mahukan sesuatu keadaan yang tidak menentu dan saya yakin masyarakat di Kuala Besut tidak akan terikut-ikut dengan kempen sebegitu kerana ia jelas tidak masuk akal,” katanya.

Pilihan raya kecil DUN Kuala Besut 24 Julai ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon BN Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman dengan Endot@Azlan Yusof dari PAS.

Ia diadakan berikutan kematian penyandangnya Dr A. Rahman Mokhtar dari Barisan Nasional (BN) pada 26 Jun lepas akibat kanser paru-paru.

Dalam perkembangan lain, Hishammuddin berkata tindakan pasangan Alvin Tan dan Vivian Lee mempersenda Ramadan merupakan perbuatan melampau yang perlu diperbetulkan segera menerusi apa sahaja akta atau undang-undang bagi mengelak masyarakat menganggapnya sebagai amalan biasa.

“Saya gembira kerana pihak pembangkang juga telah bersama-sama kerajaan untuk tidak bersetuju dengan tindakan tersebut dan kejadian itu perlu mencetuskan lagi gelombang kesatuan antara parti politik bagi menghalang pihak tentu mengambil kesempatan memecahbelahkan masyarakat, khususnya orang Islam,” katanya.

Katanya, jika tiada tindakan segera diambil, beliau bimbang ada pihak-pihak tertentu mengambil tindakan sendiri membalasnya dengan tindakan sendiri yang sememangnya perlu dibimbangi semua.

Pasangan berkenaan mempersenda Ramadan, bulan suci umat Islam, apabila memuat naik gambar sedang makan hidangan Bak Kut Teh (sup khinzir), berserta kapsyen dan logo halal yang menyentuh sensitiviti umat Islam di laman sosial Facebook baru-baru ini.

Terdahulu beliau menye-rahkan kunci rumah kepada veteran ATM, Muhamad Mat Diah, 52, bekas anggota komando dari Rejimen Gerak Khas yang berkhidmat di kem Sungai Udang, Melaka selama 17 tahun sejak tahun 1981.

Rumah tiga bilik yang dibina di bawah Program Membaik Pulih Rumah Veteran 1Malaysia itu dibina hanya dalam masa 39 hari dengan kos keseluruhan sebanyak RM40,000. — Bernama