Tindakan segera baik pulih jalan di Kg Mesilou diambil

0

PAIRIN (tengah) bersalaman dengan Hamza pada majlis penyerahan kuih raya PBS kepada IPK Sabah, di Kepayan kelmarin.

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri akan mengambil tindakan segera untuk membaik pulih beberapa jalan yang terjejas dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Mesilou, Kundasang baru-baru ini.

Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan berkata pihaknya masih menanti laporan terperinci berhubung insiden tanah runtuh berkenaan yang telah mengorbankan seorang wanita warga emas berusia 78 tahun, pada Selasa lepas.

“Kita masih menunggu laporan berhubung kejadian itu dan sudah tentu kementerian saya akan mengambil tindakan segera bagi memperbaiki serta membaikpulih jalan yang terjejas atau rosak pada insiden tanah runtuh itu.

“Dalam masa sama, kementerian saya juga akan bekerjasama dengan beberapa kementerian, jabatan atau agensi yang berkaitan untuk berkerjasama memulihkan keadaan di kawasan Kampung Mesilou,” katanya.

Pairin yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur turut berjanji bahawa Kerajaan Negeri akan berbuat sebaik mungkin untuk membaikpulih struktur jalan di sekitar kawasan Gunung Kinabalu bagi memastikannya lebih bertahan lama.

Menurutnya, ini berikutan struktur tanah yang tidak tetap di kawasan itu antara lain menyebabkan kekerapan kejadian tanah runtuh berlaku.

“Pihak kementerian dengan kerjasama agensi berkaitan sentiasa melakukan pemantauan bagi mengenalpasti kawasan yang berisiko berlakunya tanah runtuh.

“Selama ini juga kerajaan telah berusaha membina serta membaikpulih struktur jalan di kawasan itu agar ianya bertahan seberapa lama yang mampu,” katanya.

Pairin berkata, penduduk di kawasan terbabit perlu sentiasa mengamalkan sikap berhati-hati dan peka terhadap maklumat kejadian tanah runtuh terutamanya ketika musim hujan.

“Namun saya yakin penduduk di situ sudah agak fasih dengan keadaan pergerakan tanah di kawasan itu, khususnya mereka yang tinggal di lereng-lereng bukit,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan kuih raya oleh Parti Bersatu Sabah (PBS) kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Kepayan kelmarin.

Hadir sama, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Radin Malleh, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib dan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Tan Kok Lian.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Masidi Manjun mendedahkan kajian Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia mendapati persekitaran gunung termasuk di Gunung Kinabalu adalah kawasan tanah yang bergerak secara semulajadi.

Masidi turut menyarankan agar para penduduk yang mendiami kawasan lereng bukit untuk menanam lebih banyak pokok sebagai inisiatif mengatasi masalah tanah runtuh.