Thursday, September 19

Kerja tambak tanah di tapak Rh Lebong Luang bulan depan

0

BINTULU: Kerja-kerja penambakan tanah selewat-lewatnya dilaksanakan pada bulan depan di tapak Rumah Lebong Luang 39 pintu yang musnah dalam kebakaran pada jam 4.30 pagi 18 Jun lalu di Sungai Seterus, Tatau Jalan Pesisir Kuala Tatau di sini.

Kerja-kerja penambakan itu akan dijalankan sehingga selesai dengan dibiayai oleh Ahli Parlimen Bintulu.

Setiausaha Politik Ahli Parlimen Bintulu, Zaiedy Nor Abu Nasir berkata, penempatan mangsa kebakaran pada masa sekarang adalah di pondok sementara yang dibina berdekatan.

Katanya, selepas ini syor yang difikirkan adalah pembinaan rumah panjang baharu yang mempunyai banyak pintu di bawah program rumah e-Kasih untuk mangsa kebakaran itu.

“Untuk pembinaan rumah baharu Lebong Luang, (Ahli Parlimen Bintulu) Datuk Seri Tiong akan menulis surat untuk dikemukakan kepada Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal untuk dipertimbangkan supaya rumah baharu itu dapat dibina pada bulan September tahun ini atau April akan datang,” katanya di sini.

Beliau berkata, Jawatankuasa Bencana Pejabat Residen dan Daerah juga telah melaksanakan kutipan dana sebelum ini untuk bantuan pembinaan rumah sementara mangsa.

Seramai 39 keluarga merangkumi 246 orang mangsa terjejas akibat kebakaran itu. Berikutan itu bantuan segera sebanyak RM50,000 telah disalurkan oleh Ahli Parlimen Bintulu membina rumah sementara mangsa.

Manakala Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Sarawak telah memberikan bantuan segera berupa makanan, peralatan dapur, bekalan makanan yang dimasak untuk mangsa pada hari kebakaran untuk tempoh seminggu dengan jumlah keseluruhan RM13,700.

Dalam pada itu, Tuai Rumah Lebong Luang berterima kasih kepada pelbagai pihak yang menghulur bantuan segera kepada mereka.

“Saya berterima kasih kepada kerajaan termasuk Ahli Parlimen Bintulu yang banyak memberi bantuan supaya kami dapat meneruskan kehidupan selepas ditimpa musibah kebakaran ini,” katanya.