Pengundi Kuala Besut diminta kenang kegagalan PAS perintah T’ganu

0

KUALA BESUT: Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menggesa semua pengundi di Kuala Besut khususnya menolak PAS pada pilihan raya kecil kawasan itu bagi membolehkan generasi seterusnya mendapat limpahan pembangunan dan pendidikan daripada kerajaan sedia ada.

Menurutnya, PAS gagal memainkan peranan membangunkan negeri ketika memerintah Terengganu selama satu penggal pada 1999-2004.

“Saya minta kenang kembali apa yang PAS buat sewaktu diberikan kesempatan untuk memerintah Terengganu. Saya tidak mahu bercakap pasal pembangunan kerana PAS tidak berminat dengan pembangunan kerana tidak ada masjid, madrasah, sekolah agama dan jalan raya dibuat ketika itu.

“Tetapi kita kena ingat bagaimana zalimnya mereka apabila mereka menghambat keluar pelajar-pelajar tadika dari sekolah-sekolah seluruh Terengganu. Mereka terus pertahankan dan tidak pernah minta maaf dengan rakyat tentang kesalahan tersebut,” katanya.

Menurut Anggota Parlimen Kemaman itu, seandainya PAS kembali memerintah Terengganu pada masa akan datang, ada kemungkinan sekolah dan balai raya yang dibina oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) akan dimusnahkan fungsinya kerana keghairahan untuk menunjukkan mereka berkuasa pada waktu itu.

Justeru Menteri Komunikasi dan Multimedia itu meminta pemimpin PAS yang memerintah Terengganu ketika itu membuat satu pengakuan tentang kesilapan kepada umum sekiranya mereka menyesali perkara itu.

“Berilah penjelasan kepada orang ramai kerana menghalau anak bertadika baharu nak belajar ABC, alif ba ta, apakah ini bukan satu dosa besar?” katanya. — Bernama