Tuesday, September 24

Waspada penyakit tidak berjangkit

0

LAWAS: Masih ramai rakyat Malaysia yang tidak sedar serta memandang remeh tentang penyakit tidak berjangkit dan risiko penyakit tersebut terhadap kesihatan mereka, kata Ahli Parlimen Lawas Datuk Henry Sum Agung.

Katanya, rakyat perlu membuka mata bahawa pencegahan penyakit tidak berjangkit memerlukan komitmen yang tinggi daripada diri sendiri memandangkan peningkatan jumlah kes penyakit tidak berjangkit sentiasa meningkat dari tahun ke tahun.

Beliau berkata, peningkatan jumlah pesakit bagi penyakit seperti diabetes, tekanan darah tinggi dan obesiti, berkait rapat dengan budaya pemakanan dan gaya hidup masyarakat yang tidak baik dan kurang bersenam.

“Oleh itu, sebagai rakyat prihatin terhadap kesihatan diri, kita hendaklah sentiasa mempraktikkan amalan pemakanan dan cara hidup sihat bagi mencegah penyakit-penyakit tersebut,” katanya ketika merasmikan Kem Kesihatan ‘I Want Sihat’  2013 di Kampung Tang Sangoa Trusan, di sini baru-baru ini.

Turut hadir Pegawai Kesihatan Daerah Lawas, Dr Noryatini Merali, Ketua Kampung Tang Sango A, Udan Rugu dan jemputan lain.

Henry berkata, rakyat perlu menyahut seruan membuat pemeriksaan kesihatan bagi mengukur tahap kesihatan serta melibatkan diri dalam program-program yang khusus untuk mendapat kemahiran tentang pengamalan gaya hidup sihat.

“Ini termasuk daripada aspek pemakanan, pemeriksaan kesihatan, kesihatan diri dan senaman.

“Individu yang menghidap penyakit tidak berjangkit tidak mengalami sebarang gejala dan kadang kala hanya dapat dikesan selepas tujuh hingga 10 tahun,” katanya.

Jelas beliau, kerajaan juga sentiasa menyokong ke arah pembentukan masyarakat yang sihat dengan menyediakan pelbagai kemudahan prasarana seperti klinik-klinik kesihatan, menaik taraf hospital-hospital kerajaan, pemeriksaan saringan kesihatan secara percuma serta penganjuran kem-kem kesihatan.

Tambahnya, Kementerian Kesihatan Malaysia juga menyarankan rakyat Malaysia yang berusia 30 tahun ke atas menjalani ujian saringan faktor risiko penyakit tidak berjangkit setiap tahun untuk memastikan tahap kesihatan sentiasa berada pada tahap yang baik.

“Oleh sebab itu, penganjuran kem kesihatan itu adalah landasan terbaik bagi masyarakat di sini dan kawasan sekitar Trusan memperkasa diri dan membudayakan cara hidup sihat dengan turut sama dalam aktiviti-aktiviti yang dianjurkan selama dua hari itu.

“Malah, banyak aktiviti berkaitan pengamalan cara hidup sihat dijalankan termasuk berjalan kaki sebanyak 10 ribu langkah, pemeriksaan kesihatan, pemeriksaan pap smear bagi wanita, ceramah tentang bahaya merokok, pameran dan tunjuk cara berkenaan penjagaan gigi, pengambilan ubat dengan betul dan aktiviti lain,” katanya.

Menyentuh mengenai program tersebut, Henry berkata, Kem Kesihatan ‘I Want Sihat ’ dengan slogan ‘Komuniti Aktif, Komuniti Hebat’ merupakan salah satu usaha berterusan Kementerian Kesihatan dan kerajaan bagi memenuhi aspirasi rakyat menjadi aktif dan sihat.

Beliau turut memuji usaha berterusan Pejabat Kesihatan Bahagian Limbang atas kejayaan menganjurkan Kem Kesihatan ‘I Want Sihat 2013’ yang pertama di Kampung Tang Sango A di Daerah Trusan serta usaha bagi melibatkan komuniti di sini lebih celik ilmu tentang tahap kesihatan dan penjagaan diri.