Bekalan air bersih diperluas ke luar bandar: Harden

0

SRI AMAN: Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar Datuk Francis Harden Hollis memberitahu bahawa rangkaian bekalan air bersih bakal diperluaskan ke kawasan luar bandar di sini pada masa akan datang.

Menurutnya, tiga pelan cadangan telah dikemukakan kepada Kementerian Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan bagi tujuan kelulusan untuk memperluas rangkaian bekalan air.

Beliau berkata cadangan pertama adalah menambah rangkaian kemudahan bekalan air bersih sepanjang dua kilometer dari kawasan San Ugol hingga ke San Munggor, Sri Aman.

Manakala cadangan kedua menambah rangkaian kemudahan bekalan air bersih sepanjang enam kilometer bermula dari kawasan Klassen hingga ke Lepong Simpai.

“Cadangan ketiga pula menambah rangkaian kemudahan bekalan air bersih sepanjang 10 kilometer bermula dari kawasan Juntong ke SK Batu Lintang, Klinik Desa dan Ijok,” katanya pada Majlis Penyampaian Cek Projek Kecil Luar Bandar (MRP) di Pejabat SUPP Simanggang di sini kelmarin.

Pada majlis itu, Harden menyampaikan cek berjumlah RM110,000 kepada 11 penerima dari sekitar kawasan Sri Aman dan Lingga.

Sementara itu, Harden yakin usaha itu mampu mengurangkan kebergantungan pengguna di kawasan terbabit terhadap penggunaan bekalan air alternatif sekiranya cadangan itu diluluskan.

Turut hadir Timbalan Residen Sri Aman Felicia Tan, Temenggung Sii Toh Peng, Penghulu Abdul Samad, Kaunselor Andar, Ketua Wanita SUPP Simanggang Lim Siew Hung dan Timbalan Ketua Pemuda SUPP Simanggang Patrick Michael Malajin.