Monday, August 2

Masalah bekalan air di Daro akan selesai

0

Tiada lagi masalah selepas projek pembinaan loji rawatan air Kampung Jemoreng siap

SIBU: Masalah bekalan air di kampung-kampung di daerah Daro akan selesai selepas projek pembinaan loji rawatan air yang bernilai RM79 juta terletak di Kampung Jemoreng, Matu siap.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng Abu Seman Jahwie berkata, tapak loji itu dibina di atas tanah seluas 17 ekar di Kampung Jemoreng dan berkeupayaan menghasilkan sebanyak 10.5 juta liter air bersih sehari bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

Beliau memberi jaminan akan memantau proses-proses terkini projek tersebut bersama-sama Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Tidak ada masalah bekalan air dilaporkan di Matu setakat ini walaupun meningkat penggu-naannya disebabkan bulan Ramadan ini dan persediaan untuk kedatangan Hari Raya Aidilfitri,” katanya di sini semalam.

Sebelum ini, penduduk kampung di Kampung Nanga Besar mengadu ketiadaan air dan hanya bergantung kepada air Sungai Nanga yang didapati kurang bersih bagi kegunaan harian mereka.

Dalam pada itu, Pegawai Daerah Daro Shafie Ahmad dilaporkan berkata pembinaan loji rawatan air baharu telah ditangguhkan.

“Sedikit kelewatan dalam menyiapkan loji rawatan air ini disebabkan banjir sebelum ini, tetapi projek ini tetap berjalan lancar cuma sedikit lewat disiapkan tidak mengikut jadual sepatutnya,” jelasnya.

Abu Seman yang juga setiausaha politik Ketua Menteri memberitahu, apa yang sudah siap di loji tersebut ialah kuarters pekerja, pejabat pentadbiran serta pemasangan sambungan dan rangkaian paip.

Beliau menegaskan bahawa pembangunan pesat serta penduduk yang semakin meningkat di situ amat memerlukan sebuah loji rawatan air baharu dengan peningkatan pengeluaran air yang dirawat.

Daerah Matu mempunyai populasi penduduk kira-kira 17,000.

Sebelum ini, Projek Bekalan Air Luar Bandar Wilayah Matu/Daro Bahagian Mukah ini dijangka siap Februari tahun ini.

Bagaimanapun, ia tertangguh disebabkan masalah banjir di kawasan tersebut yang memaksa tempoh proses pembinaannya lewat daripada jadual yang sepatutnya.

Projek ini mula dilaksanakan pada 6 Jun 2011 dan mengambil masa selama 18 bulan untuk disiapkan.

Apabila siap, loji ini akan merangkumi stesen pam, kuarters, pejabat pentadbiran, saluran air mentah yang baharu, loji rawatan air bersama tangki takungan air, tangki kelodak dan penapis.

Mengikut perancangannya sebelum ini, projek bekalan air paip itu turut meliputi pemasangan saluran paip dari Kampung Bruan Mepal hingga ke Rumah Anyut dari Kampung Bawang ke Kampung Nanga Besar dan terus ke rumah-rumah panjang di Daro.