S’wak perlu loji mempunyai sistem rawatan air lengkap

0

KUCHING: Sarawak memerlukan lebih banyak loji rawatan air yang mempunyai sistem rawatan air lengkap bagi menyediakan bekalan air yang mencukupi kepada rakyat negeri ini.

Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof berkata, masalah bekalan air yang dialami penduduk di negeri ini disebabkan kekurangan loji rawatan air.

“Kita mempunyai loji rawatan air yang mencukupi dan perlu ditambah baik.

“Oleh itu lebih banyak lagi loji perlu dibina bagi memastikan rakyat dapat menikmati bekalan air bersih,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai krisis bekalan air yang dialami penduduk khasnya di Serian sejak tiga tahun lalu meskipun mempunyai sistem perpaipan.

Fadillah memberitahu, meskipun ia bukan di bawah tanggungjawab kementeriannya, kerajaan persekutuan melalui Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah menyalurkan dana bagi kerja-kerja menaik taraf sistem bekalan air di negeri ini.

“Kementerian Kemajuan Luar Bandar juga membantu dengan menyediakan peruntukan untuk kita membina sistem rawatan air lengkap dan penambahbaikan loji rawatan air,” jelasnya.

Beliau berkata, kerja-kerja pemasangan paip dapat dilaksanakan tetapi bekalan air dari loji tidak akan dapat menampung keperluan itu sekiranya tiada penambahbaikan serta pembinaan loji baharu dilakukan.

“Kita boleh memasang paip tetapi apa gunanya kerana penduduk akan mengalami masalah bekalan air yang tidak mencukupi,” ujarnya.