
BERMULA: Fatimah (tengah) memukul gendang kecil sebagai tanda perasmian Bengkel SOM 2013 di Wisma Wanita sambil diperhatikan dif-dif jemputan majlis.
KUCHING: Kementerian Kebajikan Wanita dan Pembangunan Keluarga mahu lebih ramai penyertaan sukarelawan jurulatih atlet Sukan Olimpik Khas (SOM) bagi melatih kanak-kanak yang mempunyai ketidakupayaan mental dan intelek di negeri ini.
Menterinya Datuk Fatimah Abdullah berkata ia sebagai memenuhi keperluan sokongan membantu kanak-kanak istimewa melakukan sesuatu yang menjadi aspirasi dalam membantu pembangunan kendiri kanak-kanak terbabit.
“Ia juga sebagai persediaan kita bagi menyertai Los Angeles Games dalam 30 jenis sukan musim panas dan luruh tidak lama lagi,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Bengkel Jurulatih SOM 2013 Cawangan Kuching di Wisma Wanita semalam.
Tambah beliau, anak watan Sarawak sudah semakin sebati dan menyerlah dalam beberapa acara sukan negara seperti di SUKMA.
Justeru, Sukan Olimpik Khas juga perlu diberi penekanan khusus bagi penyediaan peluang kepada anak-anak istimewa kita.
Sebanyak 2,717 kanak-kanak OKU telah didaftarkan di bawah PDK Sekolah Kebangsan dan 1,147 orang bagi PDK Sekolah Menengah bakal memanfaatkan program terbabit, jelasnya.
Antara pengkhususan sukan yang akan diberi penekanan bagi SOM adalah boling, tenis, renang, bauchi dan hoki.
Sementara itu, Pengarah Sukan Kebangsaan Ng Kum Loy menyatakan bagi mendapat keputusan yang baik, empat jurulatih sukarelawan diperlukan bagi melatih seorang kanak-kanak dengan pendekatan ‘one on one’.
“Latihan perlu dilakukan dalam kumpulan kecil dan kanak-kanak ini perlu berasa selesa dan mudah berkomunikasi dengan jurulatih masing-masing.
“Kita kena membawa pemikiran intelektual kita setaraf dengan kanak-kanak istimewa ini dan menggunakan perkataan atau bahasa yang mudah mereka fahami.
“Ia perlu distrukturkan dalam rutin dan mereka berasa senang berbincang dengan jurulatih tentang situasi dan anda adalah ketua dan mereka dengan sendirinya akan tahu apa yang hendak dibuat,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian.
Kemahiran ini perlu dilatih dengan sendirinya dan mereka akan melakukan perkara yang sama ketika pertandingan sebenar dengan latihan dua kali seminggu bagi tempoh lapan minggu sebelum pertandingan, ujarnya.
Tegas Ng, pihaknya berhasrat untuk menjadi perintis kepada sukan tenis dalam negara bagi SOM nanti.
“Selepas ini kita akan membincangkan apa yang perlu dilakukan untuk memulakan latihan sukan tenis dan memanfaatkan sepenuhnya gelanggang sukan Batu Lintang dan fasiliti yang sudah ada di Kolej TAR dengan sokongan daripada SLTA,” katanya.
Seramai 40 peserta kursus menyertai Bengkel Jurulatih SOM 2013 yang dijalankan di sini semalam.
Turut hadir Presiden SOM Kuching Datin Dayang Mariani Abang Zen, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Noriah Ahmad dan Menteri Muda Pendidikan Awal Kanak-kanak Rosey Yunus.