Pegawai kanan SPR setiap negeri bantu pantau PRK Kuala Besut

0

KUALA BESUT: Pengarah atau pegawai kanan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dari setiap negeri akan ditempatkan di semua lapan pusat mengundi bagi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Kuala Besut hari ini.

Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata penempatan pengarah dan pegawai kanan suruhanjaya dari setiap negeri itu bertujuan memastikan proses pengundian berjalan lancar selain sebagai latihan kepada mereka dalam menghadapi kemungkinan PRK lain.

Beliau berkata pengarah atau pegawai kanan SPR yang ditempatkan di setiap pusat mengundi akan menjadi rujukan ketua pusat mengundi jika timbul sebarang masalah atau perkara luar jangka.

“Tak adalah kami lepas tangan kepada pengarah SPR negeri sahaja, tapi pegawai-pegawai dari negeri-negeri lain, ibu pejabat pun kami libatkan sama untuk bantu kelancaran proses pengundi-an.

“Kami juga nak beri mereka pengalaman sebab ini PRK yang pertama, pilihan raya umum pun dah lepas, mana tahu lepas ini ada PRK lain lagi,” katanya kepada Bernama semalam.

SPR menetapkan hari ini sebagai hari pengundian untuk PRK Kuala Besut melibatkan 16,534 pengundi yang akan berlangsung di lapan pusat mengundi iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Besut; Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Besut; SK Alor Peroi; SK Kampung Nangka; SK Pulau Perhentian; SK Kampung Nail; SK Kampung Baharu dan SK Bukit Puteri.

PRK Kuala Besut diadakan berikutan kematian penyan-dangnya Dr A. Rahman Mokhtar dari Barisan Nasio-nal pada 26 Jun lalu kerana kanser paru-paru.

Pilihan raya itu menyaksi-kan pertandingan satu lawan satu antara calon BN Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman manakala PAS meletakkan Endot@Azlan Yusof sebagai calon parti itu.

Selain itu Wan Ahmad memberi jaminan kepada parti-parti yang bertanding bahawa keputusan PRK Kuala Besut adalah telus dan tidak perlu diragui meskipun keputusan rasmi hanya diumumkan selepas jam 10 malam.

“Setiap keputusan yang dikira tercatat dalam borang yang ditandatangani ejen calon masing-masing dan dipapar di layar skrin dalam dewan, maknanya dari situ dah tahu keputusan cuma pengumuman rasmi sahaja kita tangguh sehingga jam 10 malam,” katanya. — Bernama