RTC pertama Sarawak di Pasar Baharu Bekenu

0

MIRI: Sarawak bakal memiliki Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) yang pertama dengan pemilihan bangunan Pasar Baharu Bekenu bernilai RM10 juta di bawah Parlimen Sibuti.

Ahli Parlimen Sibuti Ahmad Lai Bujang berkata Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) telah bersetuju untuk menjadikan bangunan berkenaan sebagai RTC.

“KKLW dan kementerian peneraju RTC yang lain telah pun mengadakan lawatan ke lokasi terbabit pada 15 Jun lalu dan mendapati ia lokasi yang sesuai untuk dimajukan sebagai RTC,” katanya di sini semalam.

Menurutnya, pemilihan Bekenu adalah disebabkan kawasannya yang strategik dengan pengumpulan barangan mentah dan basah seperti perikanan dan penternakan.

“RTC Sibuti ini bakal memberi manfaat kepada kira-kira 40,000 orang terutama yang terlibat dalam pelbagai jenis ekonomi dan ia dijangka beroperasi seawal Januari tahun depan,” katanya.

Beliau memberitahu selain menjadi RTC, ia juga bakal menjadi ‘pusat satu hentian pelbagai perkhidmatan’ bagi menempatkan pelbagai agensi kerajaan, institut pendidikan dan perbankan.

“Pelaksanaan inisiatif-iniasiatif RTC di kawasan ini dilihat mampu merancakkan lagi aktiviti ekonomi dan menjana lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk setempat,” katanya.

Tambahnya, bangunan Pasar Baharu Bekenu yang siap sepenuhnya dan menelan belanja kira-kira RM10 juta itu telah sedia untuk dijadikan pusat RTC pertama di Sarawak.

“Pada masa sama, kita juga bakal mewujudkan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) di lokasi sama bagi merancakkan lagi ekonomi penduduk serta mampu meringankan beban kumpulan sasar,” jelasnya.

Menurutnya, RTC Sibuti adalah yang kelima akan dilaksanakan selepas RTC bagi negeri-negeri Semenanjung Malaysia seperti Johor, Melaka, Perak dan Kelantan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka akan merasmikan RTC pertama di Sarawak apabila ia dijangka akan mula beroperasi seawal Januari tahun depan.