Semua premis jual produk sejuk beku di Kuching tiada sijil halal

1

KUCHING: Kesemua premis menjual produk sejuk beku di bandar raya ini tidak mempunyai sijil halal, kata Ketua Unit Pembangunan Halal Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) Siti Asmah Ahmad.

Beliau berkata, pada masa ini hanya terdapat lima buah premis menjual produk sejuk beku di seluruh negeri mempunyai sijil halal iaitu empat di Miri dan sebuah di Bintulu.

Menurutnya, perkara itu amat membimbangkan kerana tidak banyak pengusaha premis menjual produk sejuk beku yang menyedari kepentingan memiliki sijil halal.

“Pada masa ini memang tiada premis menjual produk sejuk beku yang mendapat pensijilan halal (di Kuching) dan kita khuatir ayam yang dijual tidak memiliki status halal,” katanya kepada pemberita selepas Operasi Bersepadu Halal semalam.

Operasi itu melibatkan JAIS, Bahagian Veterinar Jabatan Pertanian, Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Kementerian Kesihatan, kastam dan polis.

Malah, menurut Asmah, ada di kalangan premis yang menjual produk sejuk beku menyalahgunakan sijil halal.

“Mereka sewenang-wenangnya menggunakan sijil halal rumah sembelihan dan bukannya sijil halal milik premis,” ujarnya.

Beliau berkata, setakat ini belum ada kes melibatkan penyalahgunaan sijil halal di kalangan premis menjual produk sejuk beku dibawa ke mahkamah untuk perbicaraan.

“Pada masa ini banyak kes masih dalam proses siasatan terutama penyalahgunaan sijil dan logo halal,” jelasnya.

Asmah menjelaskan, hanya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Majlis Agama Islam Negeri atau Jabatan Agama Islam Negeri boleh mengeluarkan perakuan halal.

“Sekiranya perakuan halal yang dipaparkan bukan daripada agensi terbabit, tindakan yang boleh diambil termasuk denda RM100,000 hingga RM250,000 untuk individu,” kata Asmah.

Selain itu katanya, denda RM1 juta akan dikenakan kepada pemilik sijil halal yang menjual barangan tidak halal.