Masalah air di Niah, sekitarnya berakhir

0

MIRI: Masalah tekanan air rendah dan kadangkala terputus bekalan di kawasan Niah dan sekitarnya dianggap selesai selepas Loji Rawatan Air Suai yang bernilai RM64 juta sudah beroperasi.

Ahli Parlimen Sibuti Ahmad Lai Bujang berkata loji terbabit sepatutnya beroperasi Oktober depan namun berikutan keperluan air yang tinggi, ia telah beroperasi mulai Jun lalu.

“Sekarang masalah terputus bekalan air paip tidak lagi berlaku kerana Loji Rawatan Air Suai telah beroperasi bahkan tekanan air yang disalurkan dari rumah ke rumah sangat kuat,” katanya di sini semalam.

Beliau memberitahu, sebelum ini Niah dan kawasan sekitarnya dibelenggu masalah tekanan air rendah sehingga memaksa penduduk menggunakan air sungai untuk kegunaan harian.

Tambahan pula, ia disebabkan masalah tekanan air yang kuat sehingga menyebabkan beberapa saluran paip pecah dan bocor.

“Saya percaya dengan siapnya loji air baharu ini, penduduk tidak lagi berdepan dengan masalah air bersih dan ia bakal memberi manfaat kepada kira-kira RM50,000 penduduk Niah,” ujarnya.

Loji itu katanya mampu menghasilkan 30 juta liter air bersih sehari berbanding loji sedia ada yang hanya mampu menghasilkan 16 juta liter sehari.

“Tekanan air rendah di Niah disebabkan pembangunan pesat dalam industri perladangan, pembinaan, penternakan dan sebagainya.

Namun loji bernilai RM64 juta itu mampu menampung keperluan terbabit sekali gus menyelesaikan masalah air yang membelenggu penduduk Niah selama ini,” katanya.

Untuk rekod katanya, loji terbabit salah satu projek mega yang sedang dilaksanakan di Parlimen Sibuti dan akan datang, projek pembinaan balai bomba baharu di Niah.