Projek Esplanade 2 Miri dirancang

0

MIRI: Kawasan pesisir pantai berhadapan Kampung Batu 1 sehingga ke Kuala Baram akan dijadikan pusat tumpuan baharu ekonomi dan industri pelancongan Miri.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri (MBM) Lawrence Lai berkata, projek pembangunan berkenaan sudah dalam perancangan dan hanya menunggu status tanah di kawasan tersebut.

“Kami masih tunggu apakah status tanah yang terlibat dalam projek yang dirancang itu sama ada terdapat tanah Hak Adat Bumiputera (NCR), milik orang perseorangan atau milik negeri,” katanya kepada pemberita setelah lawatan rombongannya ke tapak cadangan projek berkenaan semalam.

Menurutnya, pihaknya kini menantikan pengumuman daripada Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Miri untuk mengetahui status tanah projek itu nanti.

“Kami akan hanya jalankan projek jika status tanah adalah milik negeri sahaja, jika terdapat tanah NCR atau milik persendirian kami tidak akan melaksanakannya,” jelasnya.

Ini kerana beliau menjangkakan ketiadaan dana yang mencukupi untuk membayar pampasan kepada pemilik tanah tersebut nanti.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa projek yang dicadangkan itu bakal memberi banyak faedah kepada penduduk di sekitar terutama daripada aspek ekonomi.

“Penduduk setempat boleh menjalankan perniagaan mereka yang berasaskan produk ikan atau apa-apa sahaja jika Esplanade 2 itu nanti siap,” kata Lawrence.

Bukan itu sahaja, malah ia bakal menjadi salah satu kawasan tarikan kepada pelancong asing mahupun tempatan.