Freddy naik podium Thailand

0

NAIK PODIUM: (Barisan belakang, dari kiri) Andy, Tatsura, Rama Danindro, Freddy dan wakil Mohd Fikri di atas podium bersama pegawai pada kejohanan Cabaran Rotax Max di Thailand.

KUCHING: Hujan lebat tidak memberi masalah kepada pelumba gokart professional Freddy Lawan menamatkan Perlumbaan Jemputan Rotax Thailand 2013 pusingan kedua di podium.

Pelumba dari Sarawak itu sekali lagi membuktikan kehebatannya dengan menduduki tempat ketiga dalam kategori DD2 Senior.

Lebih menarik, beliau masih mampu memberi saingan kepada pelumba yang jauh lebih muda daripadanya.

Perlumbaan yang berlangsung di Sirkit Karting Bira, Pattaya Thailand pada minggu lalu dimenangi pelumba dari Indonesia, Rama Danindro Arionindit.

Beliau yang juga antara pelumba kelima terbaik dunia menewaskan Tatsura Youngyuen dari Thailand di tempat kedua.

Tempat keempat milik Andy Tsang dari Taiwan dan seorang lagi wakil Malaysia, Mohd Fikri Razin Rahim meraih tempat kelima.

Menurut Freddy, beliau cukup berpuas hati kerana berjaya menduduki tempat ketiga biarpun tidak mendapat latihan mencukupi sebelum perlumbaan.

“Saya hanya menjalani lati” “han kurang dari sejam pada hari Jumaat.  Ini kerana, kontena yang membawa peralatan kami lewat sampai.

“Tambahan lagi, sirkit Bira adalah baharu bagi saya.  Ia sangat mencabar dan menguji kemahiran sebenar para pelumba,” ujar Freddy.

Katanya, pada perlumbaan akhir, enjin jenteranya tidak berfungsi di tahap maksimum setelah air memasuki karburator kotak udara akibat hujan lebat melanda sirkit Bira.

Pada pusingan pertama perlumbaan yang berlangsung di Sirkit Karting Antarabangsa Sepang sebelum ini, Freddy menduduki tempat keempat.

“Kemenangan ini sedikit sebanyak memberi saya inspirasi untuk mencipta kejayaan dalam dua lagi pusingan Cabaran Rotax Max Malaysia (RMC) yang akan diadakan pada 24 Ogos dan 28 September nanti.

“Ini sangat penting kerana saya mahu memperbaiki kedudukan dalam carta RMC sekali gus melayakkan diri di Perlumbaan Akhir Cabaran Rotax Max Juara Dunia yang akan berlangsung di New Orleans, Amerika Syarikat pada 13 hingga 16 November 2013,” ujarnya.

Freddy menduduki tempat ketiga dalam senarai kedudukan RMC (DD2 Masters) di belakang Kelvin Choo dan Jeremy Nyam.

Beliau mengumpul 302 mata setelah melalui empat pusingan.

Pusingan RMC seterusnya akan diadakan Sirkit Karting Antarabangsa Sepang pada 24 Ogos depan.