Sarawak perlu lebih banyak Pejabat Daerah Pertahanan Awam

0

KUCHING: Lebih banyak Pejabat Daerah Pertahanan Awam (PDPA) perlu ditubuhkan di Sarawak bagi menampung keperluan penduduk di negeri ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, sebagai permulaan sebuah PDPA akan ditubuhkan di Santubong bagi mempertingkatkan perkhidmatan kepada orang awam.

Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Negeri hanya mempunyai 14 PDPA di seluruh Sarawak, tiga Pejabat Unit menjadikan jumlah keseluruhan termasuk ibu pejabat negeri, sebanyak 18 buah pejabat sahaja, katanya.

“Saya sendiri melihat ini belum lagi mencukupi kerana Sarawak tidak boleh dibanding dengan negeri-negeri di Semenanjung Malaysia kerana Sarawak adalah satu negeri amat besar dan patut mempunyai PDPA lebih banyak memandangkan jarak satu daerah ke satu pekan amat jauh.

“Justeru kita akan tubuhkan sebuah PDPA di Santubong, mungkin di Samariang baharu atau kawasan berhampiran,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas lawatan kerja ke Ibu Pejabat Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) di Petra Jaya di sini, semalam.

Hadir sama Pengarah JPAM Negeri Kol (PA) Mat Zin Bujang dan Timbalannya Mejar (PA) Khairil Izzwan Abdul Rahman.

Wan Junaidi yang juga Ahli Parlimen Santubong memberitahu, selain pejabat JPAM di Santubong itu, turut dalam cadangan ialah penubuhan menara penyelamat pantai di Pasir Panjang, dekat sini.

Setakat ini, katanya, JPAM hanya mempunyai dua menara penyelamat di negeri ini iaitu di Pantai Damai/Damai Puri, Santubong dan di Pantai Esplanade, Miri.

“Kita memilih kawasan Santubong kerana ia merupakan tempat dinamik di mana arus pembangunan begitu cepat sekali, selain berdekatan dengan kawasan pantai,” katanya.

Antara projek pembangunan JPAM ialah di Petra Jaya Fasa Dua dengan kos 14,836,014.65 dan di JPAM Sibu dengan kos RM1,141,453.

JPAM terus menjadi agensi penting kepada masyarakat, di mana setakat Jun tahun ini sebanyak 1,456 panggilan, 1,452 kes dan 760 mangsa diterima.

Wan Junaidi memberitahu, bilangan jawatan tetap yang diluluskan setakat ini ialah sebanyak 92, di mana 11 daripada jumlah itu belum diisi.

Manakala bagi bilangan anggota sukarela JPAM dari tahun 2007 hingga 2012 ialah 23,712 orang katanya, manakala untuk tahun 2013 seramai 7,186 orang menjadikan jumlah keseluruhan 30,898.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan Kementerian Dalam Negeri sedang menjalankan kajian menyeluruh terhadap JPAM.

“Dalam mesyuarat bulan lepas, kita mengkaji semula struktur pangkat dan gaji untuk diselaraskan dengan agensi-agensi kerajaan yang lain,” katanya.