Tuesday, November 12

Kedaulatan, keselamatan Sabah terus dipertahan

0

KUDAT: Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Abdul Rahim Bakri semalam menegaskan bahawa kerajaan persekutuan akan memastikan kedaulatan dan keselamatan Sabah terus dipertahan tanpa kompromi.

Beliau berkata meskipun insiden pencerobohan Lahad Datu dapat dibanteras, pasukan Angkatan Tentera Malaysia serta agensi keselamatan lain sentiasa peka dan siap siaga menghadapi sebarang kemungkinan.

Abdul Rahim turut menggesa rakyat Sabah agar sentiasa bekerjasama dengan anggota keselamatan dan pertahanan negara dalam menyalurkan maklumat selain tidak memberi ruang kepada musuh.

“Ini adalah untuk memastikan penceroboh tidak masuk dengan sewenang-wenangnya dan merosakkan ketenteraman negara.

“Konsep pertahanan Hanruh (pertahanan menyeluruh) yang diamal iaitu menggembleng semua agensi pertahanan dan keselamatan, tidak terkecuali orang awam, adalah menjadi pegangan asas pertahanan dan merupakan benteng pertahanan negara,” katanya sempena Majlis Rahmat Ramadan di pekarangan Masjid Landung Ayang di sini.

Pada majlis itu, Abdul Rahim turut menyampaikan bantuan Ramadan kepada  golongan asnaf, 11 kerusi roda kepada orang kurang upaya serta 10 biasiswa Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri (BAKTI) kepada penerima yang layak.

Timbalan menteri itu juga berkata kerajaan menubuhkan agensi bersepadu di bawah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) merangkumi 10 daerah Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSZONE) yang berpusat di Lahad Datu dalam memperkasa pertahanan negeri Sabah.

Beliau berkata langkah itu bertujuan memastikan operasi keselamatan dan pertahanan ditumpu di kawasan pantai timur Sabah untuk menghadapi sebarang ancaman. — Bernama